Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Air Selangor tawar kursus tukang paip untuk individu hilang pekerjaan

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) masih membuka pendaftaran Kursus Kemahiran Perantis Tukang Paip bagi individu yang berminat khususnya mereka yang kehilangan pekerjaan akibat wabak Covid-19.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri dalam kenyataan semalam memaklumkan borang pendaftaran boleh dimuat turun dari laman web syarikat itu, manakala salinan fizikal pula boleh didapati di kaunter perkhidmatan pelanggan.

"Kursus tersebut dilancarkan oleh Air Selangor dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia (ABM) pada Ogos tahun lepas untuk membuka peluang kerjaya baru, seterusnya menjana pendapatan dalam bidang perkhidmatan dan pembaikan utiliti air," katanya.

Dia berkata semalam seramai 12 peserta kumpulan pertama dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima sijil penyertaan, sijil pencapaian ABM dan Kad Hijau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk mengiktiraf kemahiran mereka.

"Mereka berjaya menjalani kursus latihan selama lima hari yang merangkumi pembelajaran secara teori sebanyak 25 peratus dan praktikal sebanyak 75 peratus sejak 8 Mac lepas," katanya sambil menambah, peserta turut menerima sebuah kotak alat perkakas untuk digunakan ketika menjalankan tugas.

Elina berkata peserta yang terpilih terdiri daripada individu yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19, yang merupakan inisiatif kedua di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara untuk membantu individu yang memerlukan dan menyuntik semangat untuk maju ke hadapan.

Sementara itu, di bawah program Sesama Mara, dia berkata inisiatif 'Box of Hope’ Air Selangor juga diteruskan melalui platform akaun bank CIMB Bank Berhad 80-0798511-8 bagi membolehkan orang ramai menghulurkan sumbangan ikhlas bagi tujuan bekalan makanan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS