Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak ada 'pengundi hantu' dalam pemilihan DAP Perak - Pegawai pengundian

Pegawai yang mengendalikan pemilihan DAP Perak menafikan dakwaan terdapat pengundi hantu, atau pengundi telah diseludup selepas waktu pendaftaran berakhir.

Timbalan Petua Pemuda DAP Chiong Yoke Kong - yang ditugaskan oleh kepemimpinan nasional untuk mengawasi perjalanan pemilihan parti negeri itu - mengatakan tuduhan yang dibuat oleh kem Naib Ketua DAP M Kulasegaran dan rakannya Thomas Su tidak berasas.

Awal hari ini, kem Kula-Su menuduh jawatankuasa yang mengendalikan pemilihan masih meminta perwakilan menghadiri konvensyen meskipun waktu pendaftaran sudah berakhir.

Mereka menunjukkan beberapa perwakilan terlihat memakai tanda nama bertulisan tangan dan bukannya pengenalan cetakan komputer.

Sebilangan penyokong kem itu juga menjeritkan "pengundi hantu" semasa kekecohan ketika pemilihan sedang berlangsung.

Bagaimanapun, Chiong memberitahu Malaysiakini tanda nama bertulisan tangan hanya digunakan atas alasan teknikal, untuk menggantikan tanda nama yang salah dicetak.

Katanya, senarai nama perwakilan yang berkelayakan telah disediakan oleh jabatan penganjur nasional DAP dan dibawa ke konvensyen negeri hari ini daripada ibu pejabat DAP.

Oleh itu, jawatankuasa DAP Perak tidak boleh mengganggu senarai nama dengan apa cara sekali pun, tegasnya.

“Sesi pengundian hanya bermula pada sebelah petang. Kami mengesahkan semula identiti perwakilan sebelum mereka mengundi.

"Tetapi dakwaan itu timbul sekitar jam 11 pagi, pada waktu itu kami bahkan belum lagi memulakan proses pengundian, jadi dari mana datangnya tuduhan yang tidak adil itu," soalnya.

Kulasegaran dan Su mencabar kem pasangan sepupu Nga Kor Ming dan Ngeh Khoo Ham untuk kepimpinan DAP Perak.

Pun begitu, kem Nga-Ngeh menyapu bersih keputusan pemilihan jawatan DAP Perak, dengan kem Kulasegaran dan Su ketinggalan jauh dari segi undi.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS