1.4 juta orang tak lengkapkan pendaftaran vaksin Covid-19
Kira-kira 1.4 juta individu yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 didapati tidak melengkapkan pendaftaran mereka, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, mereka hanya mengisi nama dan nombor kad pengenalan untuk pendaftaran penerimaan suntikan vaksin namun tidak menjawab soalan penilaian kesihatan serta melengkapkan alamat terkini masing-masing.
“Alamat terkini perlu diisi kerana proses temu janji akan diberikan di pusat pemberian vaksin (PPV) berhampiran.
“Kita tidak ambil alamat di kad pengenalan kerana ramai yang tidak tinggal di alamat yang tertera di kad itu,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Putrajaya hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata mereka yang tidak melengkapkan pendaftaran di MySejahtera akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula hari ini bagi meminta pendaftaran di aplikasi berkenaan dilengkapkan.
Menurutnya, setakat ini lebih lima juta individu mendaftar untuk menerima suntikan melalui aplikasi MySejahtera manakala 44,399 individu pula mendaftar melalui laman web dan pusat panggilan.
“Mengikut nisbah pendaftaran kepada populasi sasaran daripada di MySejahtera, ini meliputi 22.8 peratus daripada penduduk disasarkan dan bilangan temu janji dikeluarkan adalah 391,877 untuk fasa pertama,” katanya.
Khairy berkata setakat ini, 301,699 orang menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan antara penerima itu adalah jururawat sebanyak 23.86 peratus; doktor (22.23 peratus); kumpulan kesihatan lain (23.40 peratus); tentera, polis dan lain-lain (21.33 peratus) dan hanya 0.11 peratus melibatkan anggota pentadbiran iaitu 302 orang.
- Bernama

