Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Sembilan, Loke Siew Fook hari ini membuat laporan lisan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri Sembilan berhubung kos pengubahsuaian rumah rasmi Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang dikatakan bernilai RM4.5 juta.

Loke (DAP-Lobak) berkata laporan itu dibuat berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2005 yang menyebut wang dana khas sebanyak RM41.4 juta yang diperuntukkan pada 2004 dan 2005 kepada Negeri Sembilan untuk tujuan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan telah digunakan untuk membiayai kos pengubahsuaian itu.

Menurut laporan Bernama, Pengarah BPR Negeri Sembilan Mohd Yusoff Md Zain mengesahkan telah menerima laporan Loke (foto kanan).

Sementara itu Mohamad dalam reaksi serta mertanya berkata, terdapat pelbagai dana khas yang diperolehi dan dana khas bagi pengubahsuaian kediaman rasmi menteri besar tidak menyentuh dana khas yang diperolehi sebanyak RM41.4 juta berkenaan.

"Ada tajuk tertentu seperti ibu tunggal, pelajar, orang miskin. Yang ini kita `strict' dan tidak boleh disentuh. Pembiayaan itu adalah dana khas untuk pengubahsuaian yang dalam waran terperinci bukan dana khas yang dimaksudkan," katanya.

"Saya memohon peruntukan itu menerusi Kementerian Kewangan dan ia diluluskan sebanyak RM4.5 juta," kata Mohamad ketika ditemui selepas pelancaran Kempen Gotong Royong Perdana di Seremban.

Loke yang ditemui pemberita di hadapan pejabat BPR negeri berkata pihaknya membuat laporan itu berdasarkan laporan audit terbabit yang mengulas `perbelanjaan ini adalah tidak menepati tujuan dana khas diberikan'.