Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata dia akan mengaturkan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) SPRM Azam Baki berhubung dakwaan ahli Parlimen pembangkang ditekan untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).
Ia selepas beberapa lagi ahli Parlimen selain Natrah Ismail (Sekijang) yang memberitahu turut menerima ugutan atau tawaran, katanya.
"Pagi esok saya akan tulis (surat) kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki meminta pertemuan untuk jelaskan hal demikian.
“Selain Natrah, Padang Serai (M Karupaiya), Sungai Siput (Kesavan Subramaniam), Putatan (Awang Husaini Sahari), Miri (Michael Teo) memang sebut yang mereka terima ugutan atau dipelawa dengan pelbagai sogokan dan umpan untuk menarik sokongan mereka”, katanya ketika sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.
"Ini bukan politik, tapi salah guna kuasa dengan beri tekanan," katanya lagi.
Terdahulu, Majlis Presiden PH mendakwa tiga agensi kerajaan - SPRM, polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) - dijadikan "senjata politik" untuk menekan ahli Parlimen pembangkang.
Ketiga-tiga badan tersebut menafikan dakwaan itu.
Malah, tindakan Anggota Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar yang keluar PKR pada 13 Mac lalu dikaitkan dengan siasatan yang dijalankan SPRM, yang membawa kepada penangkapan kenalan akrabnya, MA Tinagaran yang juga timbalan pengerusi PKR Perak.
Bagaimanapun, Xavier menyatakan antara sebab dia keluar dari parti yang disertainya sejak tahun 1998 itu kerana berasa "sangat kecewa" dengan PKR.
Anwar turut menyentuh, walau tidak menyebut secara khusus, siasatan SPRM berkaitan Jayakumar itu dengan sekali lagi membangkitkan dakwaan berkenaan "senjata politik".
"Dalam kes SPRM terbaru, memang nyata ia jadi senjata politik. Kalau lompat siasatan tangguh," dakwanya.
Ditanya adakah timbul perselisihan antara PKR dengan Xavier sebelum ini, Anwar menafikan hal tersebut dan berkata mereka berdua ada berjumpa seminggu sebelum dia keluar PKR.
“Tiada (masalah dalaman parti) dia jumpa saya seminggu sebelum (umur keluar parti) itu. Dia jumpa saya dan sebut tentang masalah yang dia hadapi.
“Saya beritahu jangan risau, kami akan pertahankan. Dia (Xavier) juga ada kata berjumpa dengan seorang menteri kanan yang juga ugutnya,” dakwa Anwar.