Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sivarasa: Xavier takkan lompat, jika tiada siasatan terpilih SPRM
Diterbitkan:  Mar 13, 2021 9:41 PM
Dikemaskini: Mar 14, 2021 3:04 AM

MP PKR Sivarasa Rasiah mendakwa tindakan ahli parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar menyokong kerajaan PN kerana 'ditekan' selepas 'siasatan terpilih' oleh SPRM.

"Adalah amat jelas, Datuk Dr Xavier Jayakumar tidak akan melakukan tindakan tersebut jika bukan kerana siasatan terpilih oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berniat menakut-nakutkan beliau, di mana sehingga kini beberapa kenalan serta pegawai di kementerian beliau yang dahulu telah ditahan dan direman SPRM," katanya.

Sivarasa turut bersama Xavier menjadi sebahagian kem Azmin Ali pada pemilihan PKR 2018.

Dakwanya, PN perlu berhenti menggunakan agensi kerajaan seperti SPRM untuk "mengugut dan memberi tekanan kepada ahli parlimen pembangkang untuk bertindak melompat parti."

Bulan lalu, SPRM menangkap "kenalan keluarga" Xavier, MA Thinagaran.

Gambar fail, MP Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar.

Siasatan terhadap Thinagaran didakwa berkenaan projek kerajaan di Perak yang dimulakan semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

SPRM juga dilaporkan telah menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalannya berhubung kes yang sedang berlangsung.

Xavier sendiri menjadi subjek siasatan menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Sebelum ini, SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan gabungan beberapa parti politik bahawa suruhanjaya itu dijadikan sebagai 'senjata politik' dalam melaksanakan tindakannya.

"Ditegaskan bahawa SPRM merupakan sebuah agensi penyiasatan yang bebas dan sentiasa memastikan tindakannya berlandaskan undang-undang tanpa membabitkan kecenderungan politik.

"Tohmahan tersebut dianggap sebagai tidak berasas serta tidak bertanggungjawab kerana perkara itu boleh menjejaskan imej SPRM sekali gus menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap SPRM," katanya pada satu kenyataan 6 Mac lalu.

Pihak polis juga menafikan menjadi alat menyokong PN dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula menyangkal dakwaan pihaknya menjalankan kegiatan percukaian, seperti audit dan siasatan, dengan bemotif politik.

Lihat Komen
ADS