Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isham Jalil balas Annuar - Dalam politik jangan cepat 'koyak'
Diterbitkan:  Mar 17, 2021 1:44 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil menyarankan supaya Annuar Musa selalu tenang, cekal dan istiqamah dalam perjuangannya.

Isham yang juga bekas pegawai khas kepada Najib Razak merujuk kepada hantaran Facebook bekas setiausaha agung BN yang disingkirkan itu berkenaan siapa Isham Jalil.

“Saya Ketua Penerangan BN Negeri Selangor merangkap akar umbi ahli biasa Umno. Apa ada masalah?

“Dalam politik, jangan cepat koyak Tan Sri. Perlu selalu tenang, cekal dan istiqamah dalam perjuangan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Annuar Musa yang juga menteri Wilayah mempersoalkan siapa Isham selepas kenyataannya berhubung kerjasama Umno dan Pakatan Harapan (PH) semalam.

“Dia ini siapa? Ketua bahagian mana," soal Annuar pada ciapan di Twitter.

Isham pada satu kenyataan semalam berkata Umno boleh pertimbang kerjasama dengan PKR, namun jawatan perdana menteri perlu diberikan kepada Umno.

Jelas Isham, akar umbi Umno pasti menolak kerjasama dengan PKR jika matlamatnya untuk mengangkat Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Isham berkata demikian merujuk kepada kenyataan Anwar yang mendakwa terdapat perbincangan tidak rasmi antara partinya dan Umno mengenai kemungkinan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

"Pada hemat saya, kita terbuka untuk pertimbang kerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan mereka ikhlas dan jujur dalam kerjasama tersebut.

"Dan ia juga bergantung kepada penerimaan akar umbi Umno dan pucuk pimpinan parti," kata Isham semalam.

Mengulas lanjut ciapan Annuar, Isham ketika dihubungi Malaysiakini berkata apa yang dibangkitkan ahli Parlimen Ketereh itu berkemungkinan berpunca daripada perbezaan pandangannya dalam soal kerjasama Umno dengan Bersatu.

"Saya dengan Tan Sri Annuar ini kawan lama sebenarnya. Jadi, dalam politik perbezaan pendapat ini, biasalah. Dia cuit saya sikit, saya cuit dia sikit. Tapi ia tak jadi masalah pada saya.

"Cumanya, saya ingat perbezaan pendapat itu berkenaan dengan kerjasama dengan Bersatu, sebab saya dan ramai rakan rakan tak bersetuju (kerjasama dengan Bersatu), tapi dia macam nak sangat kerjasama dengan Bersatu.

"Saya daripada dulu tidak mahu kerjasama dengan Bersatu kerana pandangan akar umbi dengan kepimpinan parti pun sama dan dalam mesyuarat agung Umno, 27 Mac ini saya fikir sentimen ini akan terserlah dalam Perhimpunan Agung Umno," katanya.

Oleh demikian, Isham menasihatkan Annuar agar bersama-sama akar umbi menghormati pendirian tersebut.

"Saya fikir Annuar Musa semakin tidak mendapat sokongan. Jadi, semakin dia lawan akar umbi semakin dia terdesak.

"Jadi, saya nasihatkan dia supaya bersama-sama dengan akar umbi dalam pendirian ini (tolak Bersatu),” katanya.

Isham berkata, pada akhirnya nanti semasa pilihan raya, akar umbi yang akan berperanan sebagai jentera parti dan pengundi.

"Jadi, kalau akar umbi tidak bersetuju dengan pendirian tersebut benda (kerja) tak akan terjadi.

"Satu lagi Annuar pernah buat kenyataan, dia kata kita sebagai pemimpin kita boleh arahkan akar umbi, kemudian akar umbi akan ikut (apa yang pemimpin kata), tapi saya tak rasa begitu.

"Umno antara parti yang paling demokratik, sebab itu kalau dibandingkan dengan parti lain, saya rasa Umno paling banyak tukar pemimpin dan dalam Umno kita sebenarnya terbuka untuk bersuara.

"Jadi, tak perlu nak tunggu jadi ketua bahagian atau ketua penerangan baru boleh bercakap," katanya.

Dia berkata, setakat ini, akar umbi Umno bersetuju dan menyokong supaya parti itu tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang.

“Pada masa yang sama dengan PH pun kalau dia nak bekerjasama dengan kita, kita boleh pertimbangkan tapi tak semestinya kita terima.

"Macam sebelum ini, masa DAP Perak ingin bekerjasama dengan kita pun kita pertimbangkan tapi kemudiannya kita putuskan untuk tidak bekerjasama," katanya.

Mengulas lanjut, Isham berkata, sega perbezaan pendapat dalam parti perlu dibawa ke perhimpunan agung untuk dibincangkan.

“Syarat dia akar umbi kena setuju, pucuk pimpinan kena setuju dan sebab itu saya cadangkan kita bawa pergi ke perhimpunan agung sebab ia juga sama dengan saranan saya dengan penarikan diri Umno daripada kerajaan PN itu perlu dibawa ke perhimpunan agung sebab saya selalu mengangkat prinsip-prinsip demokrasi inilah dalam parti kita tak boleh bertolak ansur.

"Tapi Annuar Musa kata kita boleh arah, kita pemimpin kita boleh beritahu akar umbi minta suruh undi siapa. Saya tak fikir begitu," tambahnya.

Lihat Komen
ADS