Safe@Work bolehkan pekerja kontak rapat terus bekerja - Azmin
Inisiatif Safe@Work akan membolehkan pekerja-pekerja kontak rapat untuk terus bekerja dalam situasi protokol baharu yang dinamakan Safe Work Bubble, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata inisiatif tersebut berupaya mengelakkan gangguan operasi syarikat dan mengurangkan impak terhadap produktiviti apabila terdapat kes positif Covid-19 di premis perniagaan.
“Pekerja-pekerja kontak rapat akan diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada Covid-19 berdasarkan keputusan ujian saringan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Di bawah inisiatif ‘Safe Work Bubble’, Mohamed Azmin berkata beberapa aspek utama yang diberikan penekanan antaranya penubuhan Pasukan Persediaan dan Tindakan dan Tindakbalas Kecemasan Covid-19 oleh pihak syarikat dan pelaksanaan tatacara mengurus kes-kes kecemasan.
“Syarikat perlu menubuhkan satu pasukan khusus ini bagi memastikan tahap pematuhan dan audit dalaman memenuhi apa yang terkandung dalam inisiatif tersebut.
“Kami mahu memperkasakan industri. Berdikari adalah penting dan industri juga harus menjadi sebahagian daripada usaha untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dengan menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu ini,” katanya.
- Bernama

