Majlis Setiausaha Pakatan Harapan membidas Perikatan Nasional dan Menteri Luar Hishammuddin Hussein yang dilihat tidak menunjukkan rasa simpati terhadap rakyat Malaysia yang terpaksa beratur panjang di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Menerusi kenyataan bersama dari wakil gabungan parti PH, mereka berkata Hishammuddin sepatutnya memberikan penjelasan berhubung masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia di situ.

“Beliau perlu memberi penjelasan segera berkenaan situasi yang sedang berlaku.

“Masalah yang sedang dihadapi rakyat kita di Singapura boleh diselesaikan dengan menugaskan lebih ramai pegawai selain menggunakan teknologi secara lebih bijak supaya sekiranya perlu, warganegara boleh menyelesaikan masalah mereka secara online.

“Adalah amat memalukan bagi negara sekiranya teknologi tidak digunakan dengan cekap dalam hal-hal sebegini, pada tahun 2021,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan tersebut terdiri daripada Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR), Khalid Samad (Amanah) dan Liew Chin Tong (DAP).

Media Singapura, Straits Times hari ini melaporkan rakyat Malaysia yang menetap di Singapura meluahkan rasa kecewa apabila mereka terpaksa beratur panjang untuk permohonan memperbaharui pasport di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di situ.

Difahamkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia menghentikan sementara permohonan memperbaharui pasport pada 30 Mac tahun lalu kerana pandemik Covid-19 tetapi ia menyambung semula perkhidmatan tersebut pada Disember.

Pada Mac tahun lalu, rakyat Malaysia yang ingin berbuat demikian dimaklumkan supaya membuat permohonan secara atas talian dan diminta menunggu tarikh temu janji untuk mendapatkan pasport mereka.