Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lim: DAP akan kerjasama Umno untuk gesa sidang parlimen
Diterbitkan:  Mar 21, 2021 1:41 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata DAP bersedia bekerjasama dengan Umno untuk membantu memulihkan parlimen, tetapi tidak bersedia untuk bekerjasama dengan Umno pada pilihan raya akan datang.

Dalam ucapannya hari ini, dia memberitahu Konvensyen DAP Pulau Pinang, jika mereka dapat mengadakan perjumpaan lebih 2,000 perwakilan parti sesuai dengan SOP Covid-19, tidak ada sebab mengapa parlimen tidak dapat bersidang dengan hanya 222 anggota Parlimen.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang bersedia untuk menegakkan demokrasi berparlimen dengan mengadakan mesyuarat Dewan Negeri, namun parlimen dan DUN terus ditangguhkan," kata Lim dalam ucapannya kepada perwakilan.

Menyebut penggantungan parlimen yang berterusan tidak dapat dimaafkan, Lim berkata jelas DAP Pulau Pinang lebih demokratik dan berkeupayaan menjadi kerajaan lebih baik berbanding PN.

"Kita sekarang mempunyai situasi yang aneh di mana setiap pertubuhan perniagaan, sekolah, pasar malam dan bahkan stadium sukan dibuka, kecuali parlimen," kata Lim.

Dia juga memetik titah nasihat Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari lalu yang menyatakan parlimen boleh bersidang sewaktu darurat berkuatkuasa.

"Hakikatnya, parlimen boleh terus bersidang

"Hakikatnya, parlimen boleh terus menggunakan bidang kuasanya dan menjalankan fungsinya, terutama penggubalan perundangan undang-undang baru dan pengawasan kerajaan.

"Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengkritik keras Myanmar kerana menggantung parlimen, tetapi dia juga berbuat hal yang sama," kata Lim.

Katanya, menteri kabinet PN gagal melakukan tugas mereka, mengakibatkan Malaysia menjadi antara negara yang terburuk di Asean dalam jangkitan Covid-19 dari segi per kapita.

Bagaimanapun, jelas Lim, DAP masih mahu bekerjasama dengan kerajaan PN supaya berjaya membendung wabak tersebut.

"Itulah sebabnya DAP menyokong Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19. Tetapi apa gunanya membelanjakan RM5 bilion untuk Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 ini, jika ahli parlimen tidak dapat bertemu walaupun setelah divaksinasi," soalnya.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan mengatakan bahawa Parlimen perlu bersidang untuk melindungi hak-hak rakyat dari undang-undang keras yang memberikan kuasa yang luas dan sewenang-wenang kepada pemerintah.

Katanya, ramai pihak yang tidak berpuas hati dengan undang-undang berita palsu dengan denda sehingga RM100,000 dan penjara 3 tahun, dan kenaikan denda kompaun kerana melanggar sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk syarikat.

"Ini hukuman yang tidak perlu di kala rakyat sedang menderita secara kewangan akibat kemelesetan ekonomi.

Terdapat juga layanan dua darjat terhadap tindakan terhadap menteri yang melanggar SOP PKP, katanya.

 'Formula menang tanpa pemimpin kleptokrat'

Lim berkata sangat penting bagi rakyat agar parti dan rakan gabungannya dapat mengulangi kemenangan terkenal dalam pilihan raya 2018.

"Kami mahu Pakatan Harapan menang bukan hanya di Pulau Pinang tetapi juga di Putrajaya.

"Perlu ada formula kemenangan untuk pilihan raya umum ke-15 yang menyatukan semua rakyat Malaysia yang berusaha mempertahankan demokrasi berparlimen dan menghentikan PN menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal dengan mengorbankan rakyat.

"Menyatukan parti yang benar-benar menentang kerajaan PN tidak akan mudah. Sebagai permulaan, DAP menggesa semua parti politik pembangkang dan ahli parlimen serta mana-mana anggota parlimen kerajaan untuk berusaha memulihkan parlimen.

Dia juga berkata DAP tidak akan bekerjasama dengan pemimpin kleptokrat pada pilihan raya umum akan datang.

Ini dianggap merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Najib telah disabitkan bersalah berhubung perbicaraan kes rasuah bekas anak syarikat 1MDB, SRC International dan sedang menghadapi lebih banyak tuduhan di mahkamah.

Zahid juga sedang menghadapi tuduhan rasuah, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah.

"DAP menegaskan tidak ada kerjasama politik dengan Umno. Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti tidak mengubah kedudukan dasar sebelumnya," katanya.

"Kita boleh bekerjasama demi kepentingan rakyat seperti dalam pemerintahan negeri Perak dan Johor yang dipimpin oleh Umno di mana peruntukan diberikan kepada kawasan pembangkang. Ada pertemuan dan perbincangan dengan kerajaan negeri Umno mengenai isu-isu rakyat.

"Sebagai contoh, DAP bersedia bekerjasama dengan ahli parlimen Umno untuk mendesak kerajaan PN untuk mengadakan sidang parlimen dan mengkaji undang-undang yang keras seperti mengenakan denda kompaun RM10,000 terhadap individu dan RM50,000 untuk syarikat.

"Ini tidak sama dengan kerjasama politik dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Lihat Komen
ADS