PH: Kekeliruan SOP boleh dielak jika dibahas di Parlimen
Sebarang kekeliruan seputar penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 boleh dielakkan menerusi perbahasan perundangan berkaitan di Parlimen, menurut Sekretariat PH.
Sekretariat PH berkata, ahli Parlimen gabungan itu komited untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri lain untuk menambah baik prosedur.
"Rasional untuk tidak memanggil sidang Parlimen untuk memudahkan pindaan undang-undang sedia ada - yang sepatutnya membantu mengawal penularan Covid-19 - terbukti tidak benar.
"Maka kami menggesa Parlimen bersidang semula segera sebagai salah satu cara untuk menyelamatkan negara, dari sudut kesihatan dan juga ekonomi, dengan menggubal undang-undang dan dasar-dasar yang lebih berkesan.
"Tanpa kebertanggungjawaban Parlimen, kami risau masalah sedia ada akan berlarutan," kata Sekretariat PH dalam kenyataan, sambil menyokong kenyataan Industries Unite baru-baru ini, yang mewakili 110 persatuan perniagaan dengan 3.3 juta anggota.
Kenyataan itu ditandatangani Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Timbalan Pengarah Pendidikan Politik DAP Ong Kian Ming.
Sekretariat PH turut menyebut antara isu yang dibangkitkan Industries Unite termasuk kesahan kompaun yang dikeluarkan untuk sebarang pelanggaran SOP, tindakan yang terlalu tegas oleh pihak berkuasa, SOP mengelirukan dan kesan keseluruhan terhadap perniagaan.
Pada masa sama, mereka menggesa kerajaan memberikan rasional dan bukti statistik di sebalik perubahan dasar, misalnya kenaikan kompaun daripada RM1,000 kepada RM10,000.
"Apakah bukti kerajaan bahawa nilai asal kompaun RM1,000 untuk mereka yang tidak mematuhi SOP di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) tidak berkesan dalam usaha mengurangkan jangkitan Covid-19?
"Apa yang telah membuatkan kerajaan percaya bahawa meningkatkan nilai ini kepada RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi syarikat akan menjadikan usaha mengekang penularan Covid-19 lebih berkesan?"
Mereka juga menggesa kerajaan menjelaskan bagaimana data yang dikumpul menerusi aplikasi check-in MySejahtera digunakan untuk menjejak dan mengenal pasti mereka yang berisiko dijangkiti, serta titik panas penularan.
"Sebagai satu contoh, pada November 2020 di Parlimen, dilaporkan bahawa hanya 4 peratus kes positif Covid-19 dijejak menggunakan aplikasi MySejahtera," kata mereka.
Pada Rabu lalu, kabinet sekali lagi meminda denda untuk pelanggaran SOP dengan menetapkan kategori untuk denda yang dikenakan, dengan jumlah maksimum RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk syarikat.
Sidang Parlimen dijadual berlangsung sebulan sejak 8 Mac tetapi ditangguhkan susulan penguatkuasaan darurat.

