mk-logo
Berita
Ismail Sabri: 181 individu ditahan, 80 direman ingkar SOP PKP
Diterbitkan:  Mar 22, 2021 10:45 PM
Dikemaskini: 2:46 PM

Seramai 181 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 93 dikompaun, 80 direman dan lapan lagi dijamin.

“Kesalahan melibatkan kegiatan aktiviti pusat hiburan adalah kesalahan tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 106, diikuti kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal (35), gagal menyediakan peralatan merekodkan butiran pelanggan (24), aktiviti perjudian (8), tidak memakai pelitup muka (5).

“Terdapat dua aktiviti rentas negeri/ daerah tanpa kebenaran serta premis beroperasi lebih masa (1),” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 59 pendatang tanpa izin ditahan, manakala empat bot serta lima kenderaan dirampas semalam.

Beliau berkata semalam juga menyaksikan 873 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara, menjadikan kumulatifnya seramai 151,300 individu telah pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lepas.

Mengenai saringan wajib pekerja asing, Ismail Sabri berkata seramai 2,449 orang telah menjalani ujian saringan Covid-19 semalam dan 10 daripada mereka didapati positif Covid-19.

Secara kumulatif, seramai 640,997 pekerja asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 setakat ini melibatkan 33,205 majikan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS