Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis sedang menyiasat seorang anggota dewan undangan negeri (Adun) Amanah Pulau Pinang atas tuduhan mencabul seorang pembantu kedai wanita dua minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Khalid Othman, wanita itu telah membuat laporan polis pada 16 Mac yang mendakwa Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil telah bertindak tidak sopan ketika mereka keluar membeli-belah di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya.

Dalam laporan polisnya, wanita itu mengatakan ahli politik itu telah meminta untuk berjumpa bagi membincangkan isu politik, kerana dia juga anggota parti.

"Wanita berusia 31 tahun itu mengatakan bahawa semasa sedang berjalan-jalan pada 8 Mac sekitar 8.40 malam, suspek didakwa secara tiba-tiba cuba memegang tangan pengadu tetapi telah ditepis oleh pengadu.

"Kemudian semasa pengadu berada di dalam kereta suspek untuk pergi makan, suspek bertindak meraba, menarik bahu pengadu dan memegang tangan pengadu tetapi telah ditolak oleh pengadu.

"Walaupun suspek tahu pengadu tidak senang dengan situasi itu, suspek tetap melakukannya. Suspek juga mengingatkan pengadu supaya tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian itu," kata Khalid.

Khalid menambah bahawa susulan laporan yang diterima, polis telah memanggil Faiz untuk membantu siasatan.

Dia datang untuk memberikan kenyataan kepada polis pada 18 Mac.

Polis sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, undang-undang yang menetapkan kesalahan berhubung dengan menggunakan kekerasan untuk memalukan kesopanan seseorang.

Malaysiakini telah menghubungi ahli politik itu untuk mendapatkan komen, namun tidak ada balasan yang diterima daripadanya setakat laporan ini ditulis.

Lihat Komen
ADS