Kabinet mendapati Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Ong Tee Keat telah melakukan kesalahan dan kerana itu, beliau telah ditegur dalam mesyuarat mingguannya semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata teguran itu disampaikan melalui Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.

"Ada arahan ditetapkan kabinet bahawa seorang menteri atau timbalan menteri tak boleh buat apa-apa komen terhadap kementerian lain. Ini ketetapan yang dibuat.

"Saya tidak mahu membicarakan soal fakta, itu soal satu lagi. Tapi prinsipnya timbalan menteri dan menteri mesti melihat kepada bidangkuasa masing-masing sahaja dan tidak menyentuh bidangkuasa kementerian lain kecuali Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Latihan Khidmat Negara siri3/2006 di Kem Sri Perkasa, Mantin dekat Seremban hari ini.

Najib berkata Ong bersalah kerana memberi ulasan terhadap Kementerian Pelajaran dan atas prinsip itulah maka beliau ditegur oleh kabinet.

Menurut laporan Bernama, semalam Ong mendakwa kenyataannya mengenai tindak tanduk pegawai-pegawai kerajaan terhadap wang peruntukan khas untuk beberapa SJKC telah disalahtafsirkan.

Kenyataan itu membangkitkan kemarahan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyifatkan tindakan Ong sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak lebih daripada cubaan menonjolkan diri sebagai jaguh dalam memperjuangkan nasib kaum Cina.