Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki masih berdepan kes seks luar tabii di mahkamah syariah

Hampir sebulan telah berlalu sejak Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengetepikan undang-undang Syariah negeri Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Bagaimanapun, lelaki yang memperoleh deklarasi daripada mahkamah tertinggi itu masih menghadapi tuduhan Syariah di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas dakwaan melakukan seks luar tabii di negeri itu.

Peguamnya, Tay Kit Hoo, memberitahu Malaysiakini bahawa lelaki berkenaan meneruskan semakan kehakiman berikutan pertuduhan Syariah dikenakan terhadapnya.

"Arahan anak guam kami adalah meneruskan JR (semakan kehakiman) kerana tuduhan Syariah masih belum selesai," kata peguam itu.

Semakan kehakiman ditetapkan bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa Khas) hari ini.

Pada November 2019, lelaki berkenaan mengemukakan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keabsahan pertuduhan seks luar tabii di mahkamah syariah.

Setahun selepas itu, proses semakan kehakiman ditangguhkan sementara menunggu permohonannya bagi mendapatkan deklarasi Mahkamah Persekutuan mengenai keabsahan peruntukan syariah Selangor.

Dia membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan deklarasi bahawa Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) tidak sah, dengan alasan bahawa DUN Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenai perkara itu, dan oleh itu tidak sah dan batal.

Pada 25 Februari tahun ini, panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membatalkan peruntukan berkenaan.

Keputusan itu dibuat dengan alasan bahawa perkara itu berada di bawah bidang kuasa undang-undang persekutuan dan bukan negeri.

Berdasarkan peruntukan syariah negeri, adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana individu beragama Islam di Selangor melakukan "persetubuhan yang bertentangan dengan sifat tabii".

Pada 21 Ogos 2019, ketua pendakwa raya syarie melalui pendakwa raya syariah, membuat keputusan untuk mendakwa lelaki berkenaan di bawah Seksyen 28 enakmen tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Lelaki itu didakwa cuba melakukan persetubuhan di luar tabii dengan lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018. 

Dia bagaimanapun meminta dibicarakan atas tuduhan berkenaan.

Lihat Komen
ADS