Najib mohon dapatkan dokumen syarikat 'ada kaitan dengan 1MDB'
Najib Razak mengemukakan permohonan kepada mahkamah agar mengarahkan kerajaan mendedahkan beberapa dokumen bank yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB.
Antara dokumen yang diminta bekas perdana menteri itu ialah butiran syarikat yang ada hubungan dengan keluarga bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Zeti Akhtar Aziz.
Usul berkenaan difailkan pasukan pembelaan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Dokumen perbankan yang diingini Najib itu mula ditimbulkan pada tahun lalu apabila ahli keluarga Zeti didakwa menerima wang daripada individu buruan polis, Jho Low. Zati bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Berdasarkan afidavit ditandatangani Najib, ahli parlimen Pekan itu merujuk kepada laporan berita Free Malaysia Today bertarikh 31 Dis tahun lalu yang mendakwa salah seorang anggota keluarga Zeti membuat pernyataan berkanun untuk melepaskan tuntutan wang dalam akaun bank tertentu di Singapura.
Najib juga mendakwa dokumen bank tersebut dirujuk oleh pegawai penyiasat kes 1MDB, R Rajagopal.
"Saya benar-benar percaya bahawa dokumen bank yang diserahkan kepada Bank Negara Malaysia dan dokumen sokongan yang berkaitan dengan pernyataan Rajagopal adalah relevan dan penting untuk tujuan perbicaraan 1MDB dan juga untuk pembelaan saya," kata Najib.
Najib yang juga bekas menteri kewangan itu mendakwa bahawa dokumen terbabit sangat penting bagi pembelaannya dalam perbicaraan kes 1MDB yang sedang berjalan kerana Zeti adalah gabenor Bank Negara ketika itu.
"Zeti telah terdaftar sebagai saksi dalam perbicaraan 1MDB seperti yang dinyatakan dalam Exhibit DSN-10. Oleh itu, dokumen bank sangat relevan dengan pembelaan saya,” katanya.
Bekas ketua lembaga penasihat 1MDB berpendapat bahawa dokumen-dokumen itu penting ketika pasukan pembelaannya memeriksa Zeti dalam perbicaraan nanti.
Antara syarikat yang disenaraikan dalam usul Najib itu ialah Aktis Capital Singapore Private Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investment Ltd, Central Holding Ltd, Iron Rhapsody Ltd, Cutting Edge Industries, dan firma guaman Sherman and Sterling LLC.
Difahamkan Country Group Securities, ACME Time dan Butamba Investment and Central Holding dipercayai ada kaitan dengan Jho Low.
Aktis Capital Singapore pula didakwa ada kaitan dengan individu yang dekat dengan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu, manakala syarikat Iron Rhapsody dan Cutting Edge difahamkan mempunyai kaitan dengan anggota keluarga Zeti.
Semasa dihubungi, timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan pihak pendakwaan menerima permohonan daripada pasukan pembelaan Najib hari ini.
Mahkamah menetapkan Jumaat ini untuk pengurusan kes permohonan berkenaan.

