Kes cabul: Polis siasat kesahihan tuduhan pada bekas Adun
Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes bekas Adun Terengganu yang baru-baru ini dituduh mencabul isteri teman baiknya di Ampang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Farouk Eshak berkata siasatan itu dibuat bagi mengesahkan sama ada dakwaan cabul itu benar-benar berlaku atau sebaliknya ia merupakan tuduhan palsu.
Pada masa sama Farouk mengesahkan tiada saksi dalam dakwaan tersebut. Bagaimanapun keterangan daripada pihak yang berkaitan - termasuk pasangan pengadu dan bekas Adun itu - sudah diambil.
“Kejadian ini saksi memang tak ada. Maka keterangan lain daripada individu berkaitan - isteri dia (suspek), suami dia (wanita berkenaan) - semua kita dah selesai (mengambil keterangan).
“Kita tengah siasat. Sebab itu kita tak buat tangkapan lagi. Kita ambil keterangan dahulu," katanya kepada Malaysiakini.
Tiga hari lalu polis mengesahkan mereka sedang menyiasat seorang ahli politik dari Pantai Timur yang didakwa mencabul isteri kenalannya ketika bermalam di rumah pasangan terbabit di Taman Melawati sekitar Julai atau Ogos tahun lalu.
Ahli politik itu dikatakan melawat rumah pasangan itu bersama isterinya.
Ekoran laporan berita kes berkenaan, bekas Adun Air Putih, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, tampil menafikan dakwaan berkenaan.
Wan Ahmad Nizam berkata dia tidak pernah bermalam di rumah pengadu iaitu tempat serangan berkenaan didakwa dilakukan.
Sebaliknya, bekas naib ketua Umno Kemaman itu mendakwa kenalannya itu mereka-reka cerita, dan mengaitkannya dengan hutang RM20,000 yang didakwa dihutang padanya.
Wan Ahmad Nizam juga mendakwa dia ditumbuk dua kali serta dibaling dengan pasu bunga bertubi-tubi oleh kenalannya ketika mereka berbincang tentang hutang tersebut.
Farouk berkata buat masa ini siasatan masih berjalan.
“Kita tengok nanti, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya,” katanya.

