Malaysiakini
BERITA

PAS sudah diundang hadiri PAU, kata Ahmad

Diterbitkan

Umno sudah memaklumkan dan menghantar undangan kepada PAS untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ke-74 yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslam, dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.

"Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) dan timbalan presiden (Tuan Ibrahim Tuan Man) telah dijemput ke PAU melalui surat bertarikh 3 Mac.

"Presiden dan timbalan presiden parti-parti kompenan BN presiden Friends of BN juga sudah dijemput," katanya dengan melampirkan laporan berita Malaysiakini semalam.

Anggota Parlimen Pontian itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah yang menyatakan dia tidak mempunyai maklumat mengenai jemputan partinya ke perhimpunan berkenaan.

"Setakat ini belum ada maklumat. Saya tak pasti sama ada surat ada atau tak (dihantar ke PAS Pusat) sebab saya sendiri tak ada maklumat.

"Kita belum terima jemputan untuk menghadiri perhimpunan itu.

"Cuma kebiasaannya kalau ada jemputan, ia akan dihantar kepada PAS pusat.

"Jadi PAS pusat yang akan menentukan siapa-siapa yang akan hadir," kata Mohd Amar. 

Kenyataan itu sekali gus menimbulkan desas-desus pemerhati politik terhadap status terkini hubungan di antara kedua-dua parti yang membentuk Muafakat Nasional (MN) itu.

Ia khususnya selepas Umno memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU ke-15, manakala PAS dilihat lebih mesra dan selesa bersama parti itu dan menjadi sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional (PN).

 

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.