Wanita Umno ajak ahli parti elak amalan 'politik sate'
Mengajak seluruh ahli "mendayung kapal" sehingga tiba ke destinasi, Wanita Umno hari ini mengingatkan agar parti itu mematikan amalan 'politik sate' yang merosakkan.
Ketua Penerangan Wanita Umno Malaysia Norshida Ibrahim berkata politik sate itu adalah amalan kipas-mengipas dan menikam sesama sendiri.
Katanya amalan itu tidak akan membawa Umno ke mana-mana malah anggota parti di peringkat akar umbi yang akan menjadi mangsa.
"Marilah kita sama-sama mendayung kapal yang sedang belayar ini sampai menuju ke destinasi kejayaan yang gemilang.
"Janganlah kita mudah terperangkap dengan mainan-mainan ‘politik sate’ kerana natijahnya tidak akan ke mana," katanya dalam kenyataan hari ini.
Umno akan mengadakan perhimpunan tahunannya pada hujung minggu ini selepas tertangguh pada tahun lalu akibat ancaman wabak Covid-19. Tidak seperti selalu acara yang selalunya berlangsung penuh meriah itu dibayangi persaingan antara kumpulan pro-Bersatu dan sebaliknya.
Pemimpin parti dijangka berdepan dengan sekurang-kurangnya dua kumpulan utama sepanjang tempoh persidangan berlangsung pada Sabtu dan Ahad.
Tidak dijelaskan kepada siapakah kenyataan dibuat Wanita Umno itu ditujukan, namun ia boleh dianggap sebagai usaha sayap parti itu meredakan keadaan yang dilihat semakin panas akhir-akhir ini.
Norshida berkata ahli Umno perlu menjauhkan sikap negatif seperti fitnah, iri hati, hasad dengki dan cemburu buta sesama sendiri terutama apabila ada pihak yang menimbulkan syak dan wasangka antara satu dengan yang lain.
Sikap begitu katanya bukan saja akan memudaratkan perpaduan sesama sendiri malah boleh menjadi barah dan nanah kepada institusi Umno.
"Kepada Wanita Umno seluruh negara, inilah masa dan inilah platform untuk sama-sama menggengam erat tali persaudaraan dan tali permuafakatan.
"Di depan kita banyak cabaran yang bakal mendatang," katanya.

