Menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) Sabtu dan Ahad ini, ahli parti dan pucuk pimpinannya diseru untuk duduk berbincang dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Menteri Luar merangkap Ketua Umno Sembrong, Hishammuddin Hussein berkata perhimpunan itu nanti akan menjadi medan yang cukup kritikal untuk akar umbi berbicara secara telus khususnya tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kelangsungan serta masa depan parti.

Kata Hishammuddin, ia juga akan menjadi wadah untuk parti itu merapatkan saf, memperkukuhkan kesatuan serta sama-sama menentukan hala tuju yang jelas demi masa depan Umno.

"Justeru semasa bersidang kelak bincanglah dengan penuh hikmah dan bijaksana.

"Letakkan sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan majlis tertinggi dan pucuk pimpinan untuk menakhoda parti ke arah kestabilan yang amat kita perlukan sekarang," katanya dalam kenyataan.

Umno akan mengadakan perhimpunan tahunannya pada hujung minggu ini selepas tertangguh pada tahun lalu akibat ancaman wabak Covid-19.

Tidak seperti selalu acara yang selalunya berlangsung penuh meriah itu dibayangi persaingan antara kumpulan pro-Bersatu dan sebaliknya.

Pemimpin parti dijangka berdepan dengan sekurang-kurangnya dua kumpulan utama sepanjang tempoh persidangan berlangsung pada Sabtu dan Ahad.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang pernah menjawat tugas sebagai naib presiden Umno berkata perhimpunan kali ini juga mestilah berupaya menyerlahkan kestabilan parti di setiap peringkat yang berlandaskan semangat kebersamaan, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti, serta ketaatan kepada pucuk pimpinan parti terutama institusi presiden.

"Kestabilan ini penting sekiranya kita mahu Umno diyakini sebagai institusi terbaik untuk memimpin negara serta dilihat sebagai parti yang ikhlas dalam mempertahankan agenda kesatuan Melayu-Islam.

"Kestabilan jugalah akan menentukan jatuh bangun Umno dalam pilihanraya akan datang.

"Kestabilan jugalah yang Umno boleh tawarkan kepada rakyat berasaskan pengalaman yang panjang," katanya.

Tambah Hishammuddin, agenda kesatuan Melayu-Islam yang diperjuangkan Umno di samping kesungguhan membela kaum lain bukan saja akan menjamin kestabilan masa depan parti itu malah wajib dipertahankan demi melakar masa depan Malaysia yang lebih gemilang.