Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Undi 18, pendaftaran automatik hanya dilaksana lepas Sept 2022
Diterbitkan:  Mar 25, 2021 5:48 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berkata persiapan pelaksanaan Undi 18 terjejas oleh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengerusinya Abdul Ghani Salleh SPR bersikap realistik di sebalik komitmen mereka untuk melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik dan Undi 18 seperti yang diluluskan parlimen sebelum ini.

Katanya PKP secara tidak langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR.

"Justeru, pendaftaran pemilih secara automatik dan Undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR," katanya dalam kenyataan hari ini.

Undi 18 dan pendaftaran automatik pengundi dirancang, digubal dan diusulkan Pakatan Harapan (PH) semasa gabungan itu menjadi kerajaan ekoran mandat yang diperolehi pada PRU ke-14 lalu.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu kemudian diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat apabila 211 daripada 222 ahli parlimen memberikan sokongan pada 16 Jul 2019.

Sepuluh hari kemudian ia diluluskan oleh Dewan Negara pula.

Bagaimanapun status pelan itu menjadi tanda tanya apabila Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim menyatakan ia memerlukan masa lebih panjang untuk dilaksanakan.

Kenyataan itu kemudian mengundang pelbagai pihak mendesak Putrajaya dan SPR memberikan penjelasan sama ada pandangan pemimpin Bersatu dan bekas menteri Umno itu benar atau sebaliknya.

4.4 juta belum mendaftar

Asalnya perlembagaan memberikan hak kepada warganegara berusia 21 tahun dan ke atas untuk menjadi calon pilihan raya atau pengundi. PH bagaimanapun menurunkan had umur mininum itu kepada 18 tahun.

Abdul Ghani berkata SPR komited untuk merealisasikan Undi 18 dan pendaftaran automatik pada PRU ke-15 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.

Untuk rekod kali terakhir PRU diadakan ialah pada Mei 2018 dan ia perlu diadakan setiap lima tahun sekali, bermakna pada 2023.

Namun perkembangan semasa membayangkan PRU akan diadakan lebih awal dari itu. Malah lazimnya juga kerajaan akan mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen lebih awal dari tempoh tersebut.

Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berikrar untuk mencadangkan parlimen dibubarkan sebaik saja ancaman Covid-19 dapat dikawal. 

Kata Abdul Ghani persiapan ke arah pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya.

"Ini termasuklah gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan NGO serta persiapan lain," katanya.

Kata Abdul Ghani berdasarkan rekod terkini SPR, jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang.

Daripada jumlah tersebut, katanya, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun hanya seramai 1.2 juta orang manakala 4.4 juta lagi adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas dan layak menjadi pengundi namun masih belum berdaftar sebagai pemilih.

"SPR menyeru rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun dan ke atas ini untuk segera mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian melalui mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri atau pejabat pos yang berdekatan.

"SPR akan melancarkan sistem semakan prapendaftaran automatik melalui portal SPR pada Ogos 2021 bagi membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka," katanya.

SPR juga kata Abdul Ghani sedang menyediakan laporan interim berhubung pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18.

"Laporan ini dijangka akan dikeluarkan pada Sept 2021," katanya.

Lihat Komen
ADS