Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKPD di Kg Lebak Moyoh dan Kg Siasai Tamu bermula esok

Kerajaan memutuskan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu, Kota Belud, Sabah bermula esok sehingga 8 April depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD itu berikutan pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa berlaku peningkatan kes secara mendadak di kedua-dua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dalam komuniti.

"Sehingga kini, sebanyak 89 ujian saringan telah dilaksanakan di Kampung Lebak Moyoh dan daripada jumlah itu, seramai sembilan orang didapati positif COVID-19 manakala sebanyak 77 ujian saringan pula dilaksanakan di Kampung Siasai Tamu di mana tujuh kes positif dilaporkan di lokaliti ini.

"Maka setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di dua lokaliti itu," menurutnya dalam kenyataan mengenai PKP hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

Ismail Sabri juga mengumumkan penamatan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah seperti yang dijadualkan esok.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 821 ujian saringan dilaksanakan di lokaliti itu dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 140 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

"KKM mengesahkan kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, kluster adalah terkawal serta semua kes positif telah menerima rawatan," katanya.

Mengulas kes ingkar PKP, beliau berkata seramai 41 individu ditahan semalam dan daripada jumlah itu, 28 orang telah dikompaun manakala bakinya direman.

Ismail Sabri berkata kesalahan yang direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri (24 kes), tidak memakai pelitup muka (tujuh), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (lima), tiada penjarakan fizikal (dua) dan kesalahan lain sebanyak tiga kes.

Beliau berkata pada masa sama, sembilan pendatang tanpa izin diberkas dan dua kenderaan dirampas dalam Operasi Benteng

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 96 buah bot atau kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan dan pada masa sama, seramai enam pendatang turut diusir melalui dua aktiviti pengusiran," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS