Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masih terlalu awal tubuh RCI siasat kartel polis - timbalan menteri KDN

Masih terlalu awal untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I Dr Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata semuanya masih terkawal dan setakat ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum menerima senarai individu yang didakwa terlibat dalam kegiatan itu.

"Angka (individu terlibat) pun kita tidak tahu lagi… masih terlalu awal untuk RCI. Jika ada dakwaan itu dan ada asasnya boleh dibawa ke Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dahulu, dan sekiranya melibatkan pegawai rendah polis boleh dibawa dalam Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS)," katanya ketika ditemui selepas Program Malaysia Prihatin KDN di Masjid Kampung Temin, di Jerantut, Pahang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya desakan beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan yang mahu RCI ditubuhkan bagi menyiasat kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mendakwa wujud kartel dalam PDRM.

Selasa lepas Abdul Hamid dilaporkan berkata pihaknya telah mengenal pasti individu yang terlibat dalam kartel yang cuba menjatuhkannya.

Tanpa mendedahkan nama mereka yang terlibat, Abdul Hamid berkata isu berkenaan masih terkawal dan berada dalam pengawasannya dan yakin mereka yang terbabit tidak dapat 'bergerak' ketika ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS