Mahkamah keluar waran tangkap terhadap pengasas Sugarbook
Nota editor: Chan Eu Boon mengaku bersalah pada Ogos 2022 atas pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung hantaran “TOP 10 SUGAR BABY UNIVERSITY IN MALAYSIA” dan membayar denda berjumlah RM7,000. Dia tidak pernah didakwa atas kes rogol atau pelacuran; waran tangkap telah dibatalkan, dan SugarBook tidak pernah diisytiharkan sebagai haram.
Mahkamah Majistret di Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas aplikasi Sugarbook, Chan Eu Boon, 34, kerana gagal hadir pada prosiding sebutan kes dan penyerahan dokumen hari ini tanpa sebarang sebab.
Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari, setelah Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asnaf Anuar Sharuddin memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh.
“Tertuduh (Chan), peguam bela serta penjamin tidak hadir dan saya memohon agar waran tangkap dikeluarkan,” kata Aliff Asnaf.
Mahkamah menetapkan 15 Mei depan sebagai sebutan waran tangkap tersebut dan untuk tertuduh menyatakan sebab tidak hadir pada prosiding hari ini.
Pada 24 Feb lepas, Chan didakwa melakukan kesalahan menyiarkan hantaran menyebabkan ketakutan dan kegentaran orang awam dengan menggunakan sebuah laman web bagi menyiarkan satu hantaran bertajuk 'Top 10 sugar baby universiti in Malaysia’, pada kira-kira 10 pagi, 10 Feb lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/12/2c01c092c0680bedb6ba0873062dd641.jpg%3Ds660)
