Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ugut bunuh Dr M, menteri PH: Suspek ada hasrat tapi tiada persediaan dibuat, kata IGP
Diterbitkan:  Mar 27, 2021 8:46 AM
Dikemaskini: 1:37 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan enam individu disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang pada 6 dan 7 Jan tahun lalu.

Mereka dipercayai terlibat dalam ancaman membunuh beberapa pemimpin negara termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tahun selain ugutan melancarkan serangan ke atas pusat perjudian di Genting Highlands, Pahang dan kilang arak di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bagaimanapun berkata berdasarkan siasatan, tiada perancangan atau persediaan dibuat oleh mereka untuk melaksanakan ugutan berkenaan. 

"Merujuk kepada ancaman berkenaan, ia merupakan hasrat yang sering dikeluarkan oleh hampir kesemua suspek pengganas dan kumpulan pro-Daesh yang ditahan Cawangan Khas.

"PDRM sentiasa menilai ancaman bunuh seperti ini dan hasil siasatan PDRM menunjukkan tiada sebarang perancangan atau persediaan dibuat oleh mereka untuk melaksanakan ugutan berkenaan," katanya.

Tambah Abdul Hamid, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada lima warga tempatan dan seorang warga Indonesia.

Abdul Hamid berkata semasa operasi yang dijalankan Cawangan Khas Bukit Aman, polis turut merampas dua helai bendera kumpulan Daesh, sebilah parang dan pisau.

"Kesemua mereka yang ditahan merupakan anggota Anshorullah At Tauhid, sel Daesh yang ditubuhkan pada Oktober tahun 2019 bertujuan mempromosikan ideologi Salafi Jihadi dengan merekrut anggota-anggota baru dan melancarkan serangan di Malaysia.

"Siasatan PDRM mendapati tiga daripada individu yang ditahan telah mengeluarkan ancaman bunuh kepada Dr Mahathir dan beberapa menteri kabinetnya kerana mengamalkan kerajaan Thoghut," katanya.

Keenam-enam individu yang mengeluarkan ancaman berkenaan disiasat di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu mempunyai milik, jagaan atau kawalan bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas.

Cawangan Khas Counter Terorisme (E8) Bukit Aman sebelum ini menahan seorang lelaki yang mengaku merancang untuk melakukan serangan ke atas beberapa pemimpin utama kerajaan sebelum ini.

Menurut Penolong Pengarah E8, Azman Omar, lelaki terbabit ditangkap pada Jan 2020 dan mengaku bercadang mahu menyerang Dr Mahathir, Lim Guan Eng, Mujahid Yusof dan Tommy Thomas.

Mahathir merupakan perdana menteri ketika itu manakala Lim berkhidmat sebagai menteri kewangan, Mujahid menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Thomas mengetuai Jabatan Peguam Negara.

Lihat Komen
ADS