Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejuang mampu jadi penentu PRU15, kata penganalisis

Dalam keadaan senario politik yang tidak menentu, sukar untuk menjangkakan parti mana yang mampu menjadi penentu (kingmaker) dalam pilihan raya umum ke-15.

Walaupun begitu, Felo Penyelidik Ilham Centre Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid berkata kenyataan Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad bahawa ia akan menjadi penentu kepada gabungan kerajaan baru nanti tidak boleh dipandang enteng.

“Saya rasa Tun memberikan isyarat kepada gabungan-gabungan parti besar ini supaya jangan menafikan kemunculan parti-parti kecil macam Pejuang ataupun Muda (Ikatan Demokratik Malaysia),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Memandangkan belum jelas gabungan parti mana yang akan dibentuk pada PRU nanti, Hamidin berkata parti-parti besar memerlukan parti-parti kecil pada masa akan datang terutamanya parti yang mempunyai kelebihan untuk menyumbang jumlah kerusi.

“Jadi dalam konteks ini semua orang, semua parti memerlukan kerjasama daripada sekecil-kecil mana jumlah kerusi yang ada di parlimen pada masa akan datang.

“Saya rasa Pejuang ataupun Muda mampu memainkan peranan dalam konteks ini,” katanya.

Jelasnya, jika Pejuang atau Muda mampu menawan lima hingga enam kerusi pada PRU akan datang, ia boleh menentukan gabungan mana yang mempunyai kelebihan majoriti di parlimen.

“Kalau kita melihat pada hari ini pula jajaran politik baru ini tak nampak siapa lagi yang akan bekerjasama dengan siapa. Itu yang menjadikan setiap kerusi itu penting.

“Apa yang Tun katakan itu tepat dalam memastikan setiap kerusi itu boleh memainkan peranan dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Semalam, Mahathir berkata dia mengharapkan supaya Pejuang menjadi kuasa ketiga yang akan menjadi penentu kepada gabungan kerajaan baru nanti.

Ahli Parlimen Langkawi berkata sokongan tersebut kemudian hanya akan diperolehi jika syarat Pejuang diterima.

Dejavu untuk Dr M

Prof Madya Dr Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia juga melihat masih terlalu awal untuk menjangkakan parti yang akan menjadi penentu pada PRU15.

Dia menyifatkan situasi sedia ada merupakan 'dejavu' untuk Mahathir.

“Masa PRU 14, Bersatu belum jadi parti yang sah. Jadi Tun M masuk Pakatan Harapan pakai logo PKR. Cuma kali ni kita masih belum pasti Tun M mahu sertai gabungan yang mana.

“Buat masa ini masih terlalu awal untuk lihat Pejuang sebagai kingmaker. Pandangan saya, mereka lebih kepada pelengkap parti gabungan lain.

Katanya, faktor-faktor penentu tersebut banyak bergantung kepada keadaan pertandingan antara parti (multiparty contest) atau pertembungan banyak penjuru (multi corners fight) di setiap kawasan.

Pada 6 Januari lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) memaklumkan kepada pemimpin Pejuang dan Muda bahawa permohonan mereka untuk didaftarkan sebagai parti politik ditolak.

Bagaimanapun, seorang lagi pemimpin Pejuang, Mukhriz Mahathir berkata kepada Malaysiakini bahawa parti itu bersiap sedia dengan alternatif lain yang tidak dapat didedahkan buat masa ini.

“Apapun kedudukan Pejuang, kami tetap akan menyertai PRU15 untuk mendapatkan mandat rakyat dan menyumbang kepada penubuhan sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan berwawasan,” katanya.

Lihat Komen
ADS