Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramai MP lelaki lompat parti, Noraini gesa Umno letak 30% calon wanita

Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad mahu parti memberi penghargaan kepada kesetiaan sayap itu dengan meletakkan 30 peratus calon wanita pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Noraini yang juga menteri pendidikan tinggi berkata demikian selepas membacakan pantun yang memberi mesej bahawa lebih banyak anggota parlimen lelaki daripada Umno lompat parti berbanding ahli parlimen wanita.

"Lompat si katak lompat, lompatlah tinggi-tinggi, ramai sudah lelaki melompat, wanita kekal setia di sini," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung tahunan Wanita Umno 2020.

"Wanita-wanita ini setia, susah untuk lompat parti. Yang melompat ini majoritinya lelaki. Saya minta sangatlah kepada presiden parti, tengok-tengoklah wanita ini," katanya.

Tambahnya, walaupun Malaysia berada di landasan yang tepat untuk memperkasa wanita di negara ini, wakil wanita dalam politik masih rendah.

Hanya dua daripada 17 ahli parlimen Umno yang lompat parti ke Bersatu adalah ahli parlimen wanita.

Ketika ini Malaysia mempunyai 33 ahli parlimen wanita, iaitu 14.86 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen.

Sementara itu, Noraini, walaupun menjadi anggota kabinet Muhyiddin Yassin, dilihat tidak sehaluan dengan gabungan kerajaan. Dia malah melabel PN sebagai 'kerajaan sementara'.

"Walaupun kita sekarang menjadi sebahagian daripada kerajaan, tetapi ini tidak bermakna, ia memberi lampu hijau kepada kerajaan sementara ini untuk bertindak sewenang-wenangnya.

"Ini tidak bermakna walaupun saya berpijak di dalam pentas yang sama, segala tindak-tanduk – segala keputusan yang boleh menodai kepercayaan rakyat, tidak semestinya kita akur.

"Marilah bersama-sama dengan saya, menjadi semak dan imbang kepada segala tindakan kerajaan," katanya.

Sementara itu, dia mengatakan Wanita Umno menyokong keputusan parti itu untuk tidak bekerjasama dengan PKR dan DAP dan memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU akan datang.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa Wanita Umno menyokong keputusan Majlis Tertinggi. Tidak ada DAP. Tidak ada PKR," katanya.

"Kami bersetuju bahawa sukar bagi Umno dan Bersatu untuk tidur di atas bantal yang sama kerana kita mempunyai aspirasi yang berbeza. Umno dan Bersatu bertentangan dari aspek kepentingan," kata Noraini.

Wanita Umno mengadakan perhimpunan agung 2020 hari ini, bersamaan dengan sayap Pemuda dan Puteri hari ini. Perhimpunan agung Umno yang pada mulanya dijadualkan diadakan pada Disember 2020, ditangguhkan sehingga hari ini kerana pandemik Covid-19.

Lihat Komen
ADS