Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jika ada orang yang bertanya mengapa Umno boleh bekerjasama dengan PAS namun tidak Bersatu, ia mungkin dapat dijelaskan oleh Saarani Mohamad yang membahaskan ucapan dasar presiden parti itu hari ini.

Menurut Pengerusi Umno Perak wujud perbezaan di antara PAS yang boleh dikompromi dan Bersatu yang dianggap mengkhianati mereka.

Mengingatkan agar tiada sesiapa mempersoal kesetiaan Umno kepada Muafakat Nasional, Saarani berkata mereka tidak pernah mencuri ahli PAS dan begitu juga sebaliknya.

Semasa Umno bertanding dalam pilihan raya, katanya, seluruh jentera PAS turun membantu, malah parti itu tidak meletakkan calon bebas untuk mengalahkan Umno.

"Pendek kata, Umno dan PAS, keduanya saling menguatkan, bukan melemahkan. Hubungan ini tidak dibayangi kesangsian kerana muafakat yang terbina itu dipaksikan kepada sikap kejujuran dan keikhlasan," katanya.

Namun kata Saarani keadaan sebaliknya dilakukan Bersatu. Misalnya kata menteri besar Perak itu ada pemimpin kanan Bersatu yang balik ke kawasan dan mencuri ahli Umno untuk menubuhkan cawangan baru parti mereka.

"Soalan saya: tidak adakah orang Melayu lain yang boleh diambil menjadi ahli Bersatu? Mengapa ahli Umno juga yang nak dicari, yang nak dicuri?" katanya.

Justeru kata Saarani Umno Perak memutuskan untuk meletakkan calon di kawasan parlimen yang diwakili Bersatu selepas ahli parlimennya melompat keluar Umno iaitu di Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang.

Katanya Umno tidak jumud untuk menutup pintu kerjasama dengan sesiapa pun.

"Umno boleh bekerjasama tetapi tidak akan sesekali berdiam atau mengalah dalam mempertahankan citra perjuangannya," katanya.

  • Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan 

Lihat Komen
ADS