Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Pahang: Saya ada bukti kukuh Bersatu cuba pikat MP Cameron Highlands

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail mendedahkan tentang cubaan parti Bersatu memujuk Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor supaya lompat parti.

Berucap ketika membahaskan ucapan dasar presiden Umno, Wan Rosdy berkata dia mempunyai bukti kukuh berhubung tindakan Bersatu cuba "memikat" ahli Parlimen itu.

"Sudahlah tidak ikhlas, main kotor pula. Saya ada bukti kukuh, mereka berusaha memujuk dan memikat Ahli Parlimen Cameron Highlands.

"Kita bertungkus-lumus di pilihan raya kecil (PRK) menangkan beliau (Ramli). Tetapi mereka pula nak pikat, hantar khidmat pesanan ringkas hendak berjumpa dan mencadangkan sesuatu ajak berunding.

"Ahli Parlimen Cameron Highlands, ada di sini, tanyalah YB Cameron Highlands. Sampai mereka datang ke rumah, tapi usaha mereka gagal," katanya ketika berucap.

Ketika dihubungi, Ramli bagaimanapun enggan memberi ulasan dan sekadar berkata: "Tiada komen".

Ramli yang juga bekas pegawai kanan polis mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands untuk BN dengan majoriti lebih besar menerusi kemenangan pertama dalam pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan pada 26 Jan 2019.

Calon BN itu juga mencatat sejarah menjadi wakil Orang Asli pertama di Dewan Rakyat.

Ramli mendapat 12,038 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada Pakatan Harapan, M Manogaran yang memperolehi 8,800 undi, manakala dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 undi serta 276 undi.

Dia menjadi calon BN pertama yang menang melalui kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, daripada sibuk untuk menjual beli ahli Parlimen adalah lebih baik kerajaan membubarkan Parlimen.

"Timbul isu Bersatu hendak letak Iima calon ahli Parlimen di Pahang, siapakah mereka untuk tentukan kerusi di Pahang?

"Sedangkan satu kerusi pun tak ada. Tidak berunding pula dengan Umno. Mereka ini tiada keikhlasan dengan kita," katanya.

Lihat Komen
ADS