Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tajuddin, Ismail Sabri tak ada masalah lepas jawatan

Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata dia tidak mempunyai apa-apa masalah untuk melepaskan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) apabila tiba waktunya.

Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) itu berkata dia tidak teragak-agak untuk melepaskan kedudukan itu kerana perjuangan parti jauh lebih besar daripada jawatan yang diberikan kerajaan.

“Mesti (bersedia letak jawatan)! Tak ada masalah. Apa masalah jawatan tu?

“Perjuangan Umno, perjuangan parti lebih besar. Perjuangan bukan boleh dijual beli,” katanya ketika ditemui pemberita di PWTC hari ini.

Terdahulu, perwakilan Umno dari seluruh negara hari ini memberikan mandat kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan majlis tertinggi (MT) parti itu untuk menentukan bila tarikh yang tepat untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Ia dianggap kritikal kerana dengan langkah itu kerajaan PN akan jatuh dan Muhyiddin hampir tidak ada pilihan apa-apa selain menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar parlimen dibubarkan.

Umno memang sudah lama mendesak agar pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan atas alasan kerajaan yang ada sekarang - ditubuhkan melalui Langkah Sheraton dan pakatan Bersatu dengan parti yang tidak mendapat mandat untuk menjadi pemerintah - sangat tidak stabil.

Jelas Ahmad Zahid, apabila tarikh penarikan sokongan Umno itu diputuskan nanti, semua ahli parlimen yang dilantik sebagai menteri, timbalan menteri atau pengerusi GLC perlu meletak jawatan.

Menurut Tajuddin mana-mana ahli parlimen Umno yang berdegil dan enggan melepaskan jawatan seperti dikehendaki parti, mereka akan menerima akibatnya.

“Tak tahulah masing punya hati, tetapi kalau dah parti buat keputusan, apa-apa jawatan pun ahli (parlimen) kena ikut.

“Kalau tidak, maknanya tidak bersama parti dan kena terima akibat dari situ... faham-fahamlah.

“Orang yang menentang parti dia kena keluar sendiri atau terpaksa dikeluarkan. Itu disiplin parti,” kata anggota parlimen Pasir Salak itu.

Sementara itu Naib Presiden Umno yang juga pemimpin parti itu yang memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan, Ismail Sabri Yaakob, turut memberitahu dia akan akur kepada setiap keputusan parti.

“Sebagai ahli parti dan pemimpin parti, keputusan itu - tidak kira majlis tertinggi (MT) dan perhimpunan agung - adalah dari pihak tertinggi dalam parti.

“Sudah pasti kita akan akur dengan keputusan,” jelasnya lagi.

  • Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan 

Lihat Komen
ADS