Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KM P Pinang: Peruntukan untuk 4 DUN Bersatu tak kurang 'satu sen pun'
Diterbitkan:  Mar 29, 2021 2:38 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Peruntukan terhadap empat DUN yang diwakili Bersatu tidak dikurangkan "walau satu sen pun", kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Chow berkata, walaupun DUN tersebut kini dipegang pembangkang, pengundi di sana tidak mengkhianati sokongan terhadap kerajaan negeri.

"Sebenarnya pengundi di empat DUN berkenaan tidak dianiaya, sebaliknya terus mendapat jumlah peruntukan sama dengan DUN kerajaan kerana mereka telah memilih calon PH dalam PRU 2018.

"Sebaliknya, keempat-empat Adun di kawasan itu telah mengkhianati amanah serta kepercayaan pengundi yang memilih mereka bertanding di bawah gabungan PH," kata Chow dalam kenyataan.

Chow mengulas tindakan empat Adun Bersatu iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang), yang memboikot sesi libat urus ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dengan wakil rakyat hari ini.

Mereka berkata langkah itu setelah kerajaan negeri menarik balik peruntukan sebanyak RM60,000 terhadap mereka.

"Kami mendesak Kerajaan Pulau Pinang untuk berhenti menghukum rakyat dan tidak bermain politik di saat majoriti rakyat masih lagi berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi," kata mereka dalam kenyataan bersama.

Membidas langkah boikot itu, Chow berkata peruntukan di empat DUN tersebut akan disalurkan menerusi Adun angkat.

"Tambahan pula, barisan Adun berkenaan (empat Adun Bersatu yang boikot) diberi peruntukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus membawa pembangunan di kawasan masing-masing," katanya lagi.

Afif dan Zulkifli pada asalnya merupakan anggota PKR tetapi telah dipecat daripada parti pada Jun 2020 selepas menyokong PN. Afif kini menganggotai Bersatu manakala Zulkifli menjadi Adun bebas yang menyokong PN.

Khaliq dan Zolkifly pula merupakan Adun Bersatu yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pada Mei 2020.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata bukan semua Adun pembangkang dinafikan peruntukan tersebut.

Katanya, Adun pembangkang daripada Umno dan PAS, iaitu Md Yusoff Md Noor (Sungai Dua), Nor Hafizah Othman (Permatang Berangan) dan Md Yusni Mat Piah (Penaga), tetap menerima peruntukan itu.

Mereka juga hadir ke sesi libat urus hari ini.

Pogram Adun Angkat dimumkan Chow pada 27 Mei tahun lalu.

"Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik bagi DUN Teluk Bahang, Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (Bertam) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar (Seberang Jaya)," kata Chow ketika itu.

Difahamkan Adun Bukit Tambun daripada PKR Goh Choon Aik kemudian dilantik menjadi 'adun angkat' bagi Sungai Acheh.

Lihat Komen
ADS