Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Wee gesa JPJ kaji semula saman pemandu lori bawa lebih muatan
Diterbitkan:  Apr 1, 2021 10:44 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengkaji semula tindakan saman terhadap pemandu lori yang membawa lebih muatan.

Ini selepas seorang pemandu lori, S Arumugam berkongsi keluhan di media sosial apabila disenaraihitam oleh JPJ kerana kerap menerima saman akibat membawa lebih muatan.

Sedangkan menurut Arumugam, kesalahan tersebut perlu dipertangungjawabkan kepada majikan dan bukannya pemandu lori.

Dalam hantaran di Facebook, Wee berkata dia berjumpa dengan S Arumugam di pejabatnya semalam dan mendengar sendiri keluhan pemandu lori tersebut.

"Dalam pertemuan semalam, Arumugam yang berasal dari Ipoh ini menyatakan beliau memiliki banyak saman kerana membawa lori lebih muatan yang bukan atas kehendaknya tetapi atas permintaan majikan atau syarikat pengangkutan.

"Sebagai pemandu lori, semua saman berkaitan lebih muatan terpaksa ditanggung sendiri oleh Arumugam, bukannya syarikat tempat beliau bekerja. 

"Oleh kerana terlalu kerap menerima saman berkaitan membawa lebih muatan, Arumugam telah disenarai hitam oleh JPJ daripada memperbaharui lesennya," katanya.

Menurut Wee, akibat disenaraihitam, banyak saman dikeluarkan oleh JPJ dan polis kepada Arumugam kerana tidak mempunyai lesen memandu kompeten (CDL), lesen memandu kenderaan barangan (GDL) dan lesen vokasional.

"Untuk langkah ke hadapan, saya terus minta JPJ dan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) mengkaji semula tindakan saman terhadap pemandu yang membawa lebih muatan dan bukannya majikan yang dipersalahkan.

"Tindakan seumpama ini membawa kesan buruk kepada pemandu lori apabila saman tidak dapat dijelaskan oleh pemandu (bukan majikannya) dan disenarai hitamkan oleh JPJ," katanya.

Untuk rekod di bawah Akta JPJ, saman dikeluarkan terhadap pemandu lori dan majikan bagi kesalahan membawa lebih muatan.

Bagaimanapun bagi Akta Pengangkutan Awam Darat, saman dikenakan kepada majikan sahaja dan dendanya sangat tinggi kerana akta ini melibatkan kesalahan lebihan muatan yang serius.

Wee turut membantu Arumugam menyerahkan lesen memandu yang telah diperbaharui untuk tempoh lima tahun.

"Arumugam datang ke pejabat saya menceritakan kisahnya dengan linangan air mata, beliau pulang dengan senyuman lebar apabila saya menyerahkan lesen memandunya yang telah diperbaharui untuk tempoh lima tahun," kata Wee.

Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata pertemuan selama hampir sejam itu diadakan bersama Ketua Pengarah APAD, Azlan Al Bakry dan pegawai JPJ, Ong See Tang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS