Malaysia kesal dengan sikap Ketua Gereja Roman Katholik Pope Benedict XVI tidak bersungguh-sungguh meminta maaf dan menarik balik kenyataannya yang menghina Islam sehingga menyebabkan kemarahan umat Islam seluruh dunia terus memuncak.

Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata Pope Benedict minggu lalu sekadar menyatakan rasa dukacita terhadap reaksi marah umat Islam ekoran kenyataannya, tetapi tidak berusaha meredakan kemarahan tersebut dengan meminta maaf.

"Umat Islam selama ini merasa tertekan, dan kenyataan Pope Benedict yang sekadar merasa dukacita terhadap reaksi marah itu tidak cukup untuk menyejukkan kemarahan, lebih-lebih lagi kerana Pope merupakan pemimpin tertinggi Vatican," katanya kepada wartawan Malaysia di Havana, Cuba selepas berakhirnya sidang kemuncak Pergerakan Negara Berkecuali (NAM).

Oleh itu, katanya Malaysia tetap dengan pendirian menuntut kenyataan maaf daripada Pope Benedict dan menarik balik kenyataannya yang dibuat di Jerman Selasa lepas.

Menurut laporan Bernama, Ekoran kenyataan menyinggung beliau yang mengaitkan Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan jihad dengan keganasan, masyarakat Islam di seluruh dunia terutama di Turki, Mesir, Pakistan, Iran dan Jordan mengecam hebat kenyataan itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengeluarkan kenyataan mahukan Pope Benedict meminta maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Pope Benedict dalam kenyataannya kelmarin menyatakan rasa kesal terhadap ucapannnya di Viticxan City itu dan menjelaskan teks yang dibacanya itu bukan pendapat peribadinya tetapi satu kenyataan yang dipetik dari buku sejarah Raja Byzantium.

Umat Islam di Pakistan, Iran, Indoensia dan Asia Barat masih tidak berpuas hyati dengan kenyataan kesal Pope Benedict itu dan terus mendesaknya segera memohon maaf bagi meredakan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.