Mengkritik PM: Zaid Ibrahim tidak dikenakan tindakan
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ahli Parlimen bebas mengkritik kerajaan selagi tindakan itu tidak menyalahi peraturan dan disampaikan di Parlimen.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ahli Parlimen bebas mengkritik kerajaan selagi tindakan itu tidak menyalahi peraturan dan disampaikan di Parlimen.
Oleh itu katanya, tiada tindakan akan diambil terhadap anggota Parlimen Kota Baharu Datuk Zaid Ibrahim (foto kanan) yang telah mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Najib berkata, kerajaan sekarang menggalakkan kebebasan bersuara asalkan ia tidak menyalahi peraturan dan disampaikan di dalam Parlimen.
"Dia boleh beri apa-apa pandangan yang dia suka dalam Parlimen asalkan tidak salah dari segi peraturan Parlimen dan dia patuh pada peraturan dari segi whip dan kita ambil kira apa yang beliau suarakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek perumahan keluarga Angkatan Tentera di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang.
Najib yang juga Ketua Whip di Parlimen menambah, Zaid boleh mengkritik kerajaan tetapi mesti menyokong kerajaan dari segi whip dan tidak boleh berbuat sesuatu yang boleh menjejaskan kepentingan parti.
Menurut laporan Bernama, Najib berkata demikian bagi mengulas komen Zaid di Parlimen baru-baru ini yang mengatakan Abdullah masih tidak membawa perubahan seperti yang dijanjikan selepas memegang jawatan Perdana Menteri tiga tahun lalu.
Najib berkata Abdullah sendiri mengharapkan anggota Parlimen memainkan peranan yang lebih berkesan supaya orang ramai tidak bergantung kepada pembangkang.
"Kalau ada apa-apa yang hendak disuarakan bolehlah cari ahli Parlimen Barisan Nasional untuk diketengahkan apa-apa perkara di Parlimen," kata Najib.
Timbalan Perdana Menteri berkata Zaid hanya memberikan pandangan, dan yang penting sekali kerajaan hari ini dan Perdana Menteri, telah mendapat sokongan yang berterusan dan dengan ini Abdullah boleh membuat keputusan yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat.
Melayu Pulau Pinang
Mengenai isu Pulau Pinang, Najib menasihatkan Pergerakan Pemuda Umno negeri supaya memberi peluang kepada Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk bertemu dengan mereka.
Beliau menafikan tuduhan kononnya Dr Koh sengaja melewatkan pertemuannya dengan Pemuda Umno negeri yang mahu Ketua Menteri itu membela nasib Melayu Pulau Pinang yang didakwa terpinggir.
"Tidak. (Dr) Koh Tsu Koon sudah berjanji dengan saya, beliau akan buat pertemuan dalam masa terdekat jadi bagilah dia masa dan ruang untuk dia menentukan tarikh," katanya.
Projek perumahan yang dirasmikan beliau hari ini memiliki keluasan 30.8 hektar, mengandungi lapan lot banglo, 20 unit rumah teres berkembar dua tingkat, 108 unit rumah teres dua tingkat, tiga blok pangsapuri dengan 80 unit rumah, dua blok pangsapuri dengan 144 unit rumah, empat blok pangsapuri dengan 256 unit rumah serta satu blok pangsapuri dengan 44 unit rumah.
Dalam ucapannya, Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata kerajaan mahu memastikan anggota tentera mendapat kemudahan yang terbaik malah pangsapuri milik tentera kini mempunyai keselesaan bertaraf kondominium.
"Perkara ini dapat dilihat apabila Kementerian Pertahanan mensasarkan sebanyak 60 peratus rumah keluarga secara keseluruhannya untuk dibina," katanya.
Kedudukan rumah yang berdekatan dengan tempat bekerja membolehkan mereka segera pulang sekiranya berlaku situasi kecemasan yang melibatkan anggota keluarga, katanya.
Najib berkata kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) memperuntukkan sebanyak RM1.05 bilion bagi membiayai 32 projek sambungan dan lima projek baru tentera yang melibatkan pembinaan 8,949 unit rumah. Antara yang memerlukan penggantian segera rumah ialah Kem Penrisson, Kuching dan Kem Lok Kawi di Kota Kinabalu.

