Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
14 kedai diroboh, PSM kesal k'jaan PH 'zalim' pada orang miskin

PSM meluahkan rasa kesal dengan dengan apa yang disifatkan sebagai kezaliman kerajaan PH Selangor, setelah 14 kot kedai milik peniaga berpendapatan rendah di Kampung Manickam di Bangi Lama dirobohkan semalam.

Dalam satu kenyataan semalam, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata, lot-lot kedai itu sudah beroperasi selama 40 tahun, membabitkan peniaga yang terdiri daripada antaranya mekanik, kedai makan, kedai bunga dan tukang jahit.

“Cara ahli politik PH mengendalikan isu hari ini cukup mendukacitakan, zalim dan angkuh. Menteri besar dari PKR, Adun dari Amanah dan ahli parlimen dari DAP.

“Ini bukan kawasan pembangkang. Jika ini cara PH layan orang biasa di sebuah pekan yang tidak banyak aktiviti ekonomi, kasihanlah rakyat Malaysia,” katanya.

Arutchelvan berkata dia tidak mahu menyalahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan pejabat daerah dan tanah untuk perobohan itu, memandangkan mereka hanya pelaksana dasar semata-mata.

S Arutchelvan

Ketika dihubungi, Adun Sungai Ramal Mazwan Johar berkata dia sudah cuba sehabis baik untuk menangguhkan perobohan itu dengan menghantar surat ke pejabat daerah dan tanah serta MPKj, dengan salinannya turut dihantar ke Menteri Besar Amirudin Shari dan exco kerajaan tempatan Ng Sze Han.

Katanya, jalan di mana terletaknya kedai-kedai itu menjadi kawasan sesak akibat bertambahnya kawasan perumahan baru di sekitar.

Katanya lagi, kawasan itu juga berdekatan dengan tapak pembinaan sebuah pusat komuniti yang baru.

Oleh itu, katanya, kawasan tersebut boleh digunakan untuk melebarkan jalan bagi mengurangkan kesesakan atau membina lot parkir untuk dewan komuniti berdekatan.

“Ada keperluan untuk tanah itu diambil oleh pihak kerajaan, tetapi tidak ada kesegeraan untuk berbuat demikian.

“Sekarang tengah pandemik, peniaga perlu mencari pendapatan [...] Sepatutnya sempat untuk pindahkan mereka dahulu sebelum perobohan,” kata Mazwan kepada Malaysiakini.

Tambahnya lagi, dia telah menggesa MPKj untuk segera menempatkan semula peniaga-peniaga itu ke kawasan pasar tempatan yang menurutnya hanya berjarak 50 meter daripada tapak yang dirobohkan.

“Dalam pasar tu ruang luas, tapi yang dihuni (di pasar itu) tak sampai lapan lot pun. Ada banyak ruang.

“Sepatutnya perkara ini dapat diberikan segera oleh MPKj, (memandangkan) ini pasar (milik) MPKj,” katanya.

Ahli parlimen Bangi Ong Kian Ming turut memberitahu Malaysiakini bahawa dia sedang bekerjasama dengan Mazwan bagi mencari rancangan alternatif jangka pendek bagi memindahkan peniaga-peniaga itu ke tempat baru.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS