Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin tidak menolak dakwaan suara mirip Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam audio perbualan tular antara kedua-dua pemimpin itu.

Menurut bekas naib presiden PKR itu, dia mempercayai dakwaan tersebut memandangkan telah berada dua dekad bersama parti itu sebelum ini.

“Saya ada juga dengar (rakaman audio) tu.. kita dengar penafian dari Zahid.

“Saya rasa Anwar pun cakap ia merupakan kerja daripada sesetengah pihak. Tapi untuk orang yang telah bersama PKR selama 20 tahun, saya percaya itu suara Anwar,” katanya ketika melancarkan majlis 'Sebuah Kehidupan’ di Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Rakaman audio itu mula tular dan menarik perhatian ramai sejak dua hari lalu.

Bagaimanapun Ahmad Zahid dan Anwar menafikan tuduhan tersebut, berkata akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Diminta mengulas lanjut mengenai kandungan rakaman itu, Zuraida berkata sesiapa pun berhak mengatakan apa yang ingin mereka suarakan.

“Kandungan itu juga salah ‘sebuah kehidupan’… 

"Mereka boleh kata apa yang mereka mahu.

“Kita hanya melihatnya sebagai sebahagian daripada kehidupan,” kata Zuraida.

Dalam perbualan kira-kira empat minit itu, suara yang didakwa sebagai Zahid dan Anwar kedengaran berpuas hati dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung bulan lalu.

PAU 2020 memutuskan Umno tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu, serta memberi mandat kepada presiden dan Majlis Tertinggi untuk menentukan masa menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, suara yang didakwa Zahid berkata apa yang diucapkan ketika PAU hanya bersifat "taktikal."

Ia dipercayai merujuk kepada kenyataan tiadanya kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Suara didakwa Anwar pula berkata lebih baik jika menteri Umno, walaupun seorang meletakkan jawatan dalam kabinet PN, untuk membina momentum.

Bagaimanapun, dia berkata tiada yang berani berbuat demikian.

Lihat Komen
ADS