"Tutup mulut demi keharmonian dan kepentingan negara!"

Itulah ingatan daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini, Lim turut menggesa pemimpin Pemuda Umno itu supaya berhenti membuat dakwaan 'palsu'.

Lim menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Khairy di sebuah forum ekonomi di Kuantan, Pahang hujung minggu lalu.

Khairy, yang juga menantu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, syarikat konsesi lebuhraya bumiputera lebih suka menggunakan khidmat konsultan bukan-Bumiputera sebagai penasihat projek mereka.

Utusan Malaysia melaporkannya sebagai berkata, kerajaan menyerahkan kontrak untuk melaksanakan projek-projek tertentu kepada syarikat konsesi Bumiputera dan di segi logiknya, konsultan yang dilipih juga sepatutnya bumiputera.

Bagaimanapun, kata Khairy lagi, tindakan syarikat-syarikat konsesi ini yang dianggap tidak menyokong bangsa mereka sendiri, menyebabkan faedahnya, yang sepatutnya untuk dikongsi bersama, telah jatuh ke tangan orang lain.

Menurutnya, syarikat konsesi berkenaan nampaknya lebih terpengaruh untuk mendapatkan keuntungan cepat yang dijanjikan oleh orang lain. Kertas kerja Khairy itu dibaca oleh Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Reezal juga mendedahkan bahawa antara 1997 hingga 2005, hanya RM1.95 bilion daripada sejumlah sejumlah projek lebuhraya yang bernilai RM18.05 bilion membabitkan konsultan Bumiputera.

Katanya, jumlah itu merupakan 10 peratus dan jelas tidak selaras dengan usaha kerajaan untuk mencapai 30 peratus pemilikan Bumiputera.

Jangan salahkan orang lain

Sementara itu, Lim menafikan dakwaan pemimpin pergerakan Pemuda Umno itu.

Beliau turut menunjukkan laporan akhbar Berita Harian yang menyebut konsultan konsesi lebuhraya dipilih berdasarkan kepada merit dan bukan atas dasar kaum.

Laporan itu memetik jurucakap Plus Expressway Bhd sebagai berkata apabila konsultan tempatan tidak mempunyai kepakaran tertentu, mereka akan mendapatkan bantuan syarikat antarabangsa.

Beliau berkata, langkah diambil untuk memastikan berlakunya perpindahan kemahiran daripada syarikat luar negara itu untuk meningkatkan skop dan kepakaran syarikat tempatan.

Lim juga menunjukkan kepada wartawan senarai tender terbuka bagi 39 projek kerajaan yang diumumkan oleh Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu yang bernilai RM1.5 bilion.

Di samping itu, Lim turut menunjukkan laporan akhbar yang menyebut bahawa semua syarikat yang mengemukakan tender mestilah milik Bumiputera.

"Perkara utamanya ialah (Pemuda Umno) tidak seharusnya menyalahkan kaum lain apabila bukan Melayu tidak mendapat kontrak. Mereka (bukan Melayu) kini dipersalahkan kerana mendapat kontrak yang mereka tidak perolehi dan ini tidak adil," katanya.

Baru-baru ini, Khairy menjadi sasaran hebat apabila beliau mengatakan bahawa kaum Cina akan mengambil kesempatan sekiranya Umno lemah.

Bagaimanapun, lepasan Oxford berusia 31 tahun ini enggan memohon maaf kerana mendakwa dia hanya 'mempertahankan' kaumnya. Berita asal