Seorang pemandu teksi membuat laporan polis dengan mendakwa seorang ahli perniagaan dihukum atas kesalahan yang tidak dilakukan berhubung kejadian pada 2017.

Kata S Manugharan, 55, sebenarnya dia adalah individu bertanggungjawab dalam kejadian kekecohan membabitkan seorang kakitangan wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), bukannya ahli perniagaan berkenaan.

"Saya percaya terdapat kesilapan dalam proses pengecaman muka kerana kereta ahli peniaga terbabit secara kebetulan turut berada di tempat kejadian semasa kekecohan berlaku.

"Sebenarnya, saya yang terlibat dalam insiden tersebut, bukannya ahli perniagaan itu. Kebetulan, kereta dia juga berada di kawasan insiden yang sama," katanya dalam sidang media di Taman Seri Muda, Shah Alam.

Pada 6 April lalu Manugharan membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam selepas mengetahui P Thiagarajan didenda RM8,000 serta dihukum penjara enam bulan atas pertuduhan menyerang dan mencederakan seorang petugas MBSA.

Penghakiman itu dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Kata Manugharan dia berasa serba salah selepas mendapati ahli perniagaan itu, Thiagarajan, dihukum atas perlakuan orang lain.

"Thiagarajan orang yang sangat dihormati dalam kalangan masyarakat India.

"Jadi, saya percaya menjadi tanggungjawab saya untuk memberitahu perkara sebenarnya.

"Saya juga akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk menyiasat semula kes ini," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan daripada polis berhubung dakwaan Manugharan.