Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM padam artikel 'salahkan mangsa' isu gangguan seksual

Artikel yang menyentuh topik gangguan seksual yang diterbitkan di portal web pendidikan Kementerian Kesihatan dipadam hari ini, setelah mendapat kritikan hebat dalam talian kerana kandungannya yang disifatkan menyalahkan mangsa.

Tulisan berjudul 'Emotional Impact On Sexual Harassment Victims' ('Kesan Emosi Terhadap Mangsa Gangguan Seksual') dipercayai disiar di portal MyHealth sejak 2016, tetapi hanya menjadi perhatian semalam ketika seorang editor laman berita kesihatan mendesak kementerian untuk menurunkan artikel itu.

"Bahagian ini tidak seharusnya ada di laman web kesihatan, apa lagi yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan. Sila padam artikel ini.

"Lelaki melakukan gangguan seksual dengan menyalahgunakan kuasa mereka terhadap wanita, terutama di tempat kerja. Ini tidak ada kaitan dengan cara berpakaian wanita," kata editor portal kesihatan CodeBlue, Boo Su-Lyn di Twitter.

Dia melampirkan tiga tangkapan skrin yang menunjukkan bahagian artikel yang menyatakan beberapa faktor yang dikaitkan sebagai menyebabkan gangguan seksual.

Editor CodeBlue, Boo Su-Lyn

Antara faktor yang dipetik pengarang dalam tulisan itu adalah "bentuk badan yang seksi dan menarik perhatian, keperibadian yang menawan, gaya pakaian yang tidak sesuai, dan interaksi sosial yang tanpa batas".

"Seorang wanita yang bekerja sendiri mesti mengelakkan bekerja lebih masa, dia mesti mencari alternatif lain seperti membawa pulang tugas yang belum selesai. Sekiranya tidak ada pilihan lain, dia mesti memastikan kehadirannya diketahui oleh orang lain atau ditemani oleh rakan-rakan.

"Gaya berpakaian tidak senonoh dan tidak sesuai juga mendatangkan bahaya. Untuk menghindarinya, lebih baik berpakaian dengan etika berpakaian yang wajar dan sesuai dengan keadaan," kata artikel itu dalam bagian yang membincangkan bagaimana gangguan seksual dapat ditangani.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan dan Bahagian Pendidikan Kesihatan kementerian itu yang bertugas di MyHealth, untuk mendapatkan komen.

Menurut artikel itu, yang kini tidak lagi dapat dibaca di MyHealth mulai pagi ini, ia terakhir disemak pada 5 Jan 2016. Ia ditulis oleh kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.

Kenyataan Boo telah diulang ciap lebih 500 kali, dan mendapat banyak komen yang mengecam artikel tersebut.

Isu ini juga menarik perhatian bekas timbalan menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat Hannah Yeoh dan pakar kesihatan Dr Amar Singh, yang mendesak kementerian untuk memadam artikel itu.

"Saya telah dimaklumkan mengenai artikel ini. Ini benar-benar salah. @KKMPutrajaya mesti memadamnya," kata Yeoh di Twitter.

Amar menyatakan persetujuannya dengan Yeoh, dengan mengatakan bahawa kandungannya "merepek".

"Menyalahkan semua wanita atas gangguan seksual. Entah macam mana artikel ini boleh diluluskan untuk disiarkan.

"Kementerian Kesihatan harus memadamnya secepat mungkin," tambahnya.

Lihat Komen
ADS