Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trend sentuh sensitiviti umat Islam makin meningkat - Abim
Diterbitkan:  Apr 16, 2021 1:34 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berpendapat seolah-olah berlaku peningkatan trend yang menyentuh sensitiviti umat Islam sejak kebelakangan ini.

Naib Presiden Abim, Zairudin Hashim merujuk satu klip video lagu raya yang mempromosikan judi dalam talian dan insiden pengawal peribadi dipukul kerana berpuasa oleh majikannya.

"Kedua-dua keadaan ini amat membimbangkan kerana ia tidak pernah dilaporkan berlaku sebelum ini.

"Abim melihat ini menggambarkan seolah-olah berlaku trend peningkatan isu-isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam dan memberi gambaran bahawa kerajaan gagal bertindak dengan tegas menegakkan serta mempertahankan syiar Islam di negara ini.

"Ketegasan ini penting agar kesucian Islam tidak hanya slogan retorik untuk memainkan perasaan umat Islam semata-mata," jelasnya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular iklan lagu raya yang mempromosikan judi dalam talian oleh sebuah syarikat judia ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

Selain itu orang ramai juga dikejutkan dengan berita dua pengawal peribadi beragama Islam dipukul sehingga cedera oleh majikan mereka kerana berpuasa.

Sehubungan dengan itu, Abim menggesa pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan serius berhubung dua insiden berkenaan memandangkan ia membabitkan sensitiviti umat Islam serta kesucian bulan Ramadan.

"Abim  juga mengajak masyarakat untuk melaporkan sebarang salah laku atau pencanggahan hak asasi manusia kepada pihak berkuasa.

"Abim mengambil kesempatan ini untuk menasihati orang ramai agar tidak melibatkan isu perkauman sempit mahupun menyebar sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti serta menjejaskan keharmonian antara masyarakat Malaysia," jelasnya.

Lihat Komen
ADS