Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Makna integriti: Hadi suruh Zaid baca kamus
Diterbitkan:  Apr 16, 2021 6:11 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata dia tidak perlu melayan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, yang baru-baru ini cuba mengajarnya erti integriti.

Sebaliknya kata Abdul Hadi, takrif integriti dapat difahami melalui pembacaan buku atau merujuk kamus.

"Oh, saya tak perlu jawab, boleh baca bukulah (untuk tahu) takrif integriti tu apa.

"Kamus Dewan ada (makna integriti).... suruh dia baca Kamus Dewan balik," katanya kepada media selepas selesai memberikan kuliah mingguannya di Rusila, Terengganu, hari ini.

Kelmarin, Zaid yang juga bekas menteri di jabatan perdana menteri menyanggah minda Abdul Hadi yang mengulas suasana politik dengan menggunakan hujah majoriti yang diperoleh kerajaan serta aspek integriti.

Kata Zaid berdasarkan apa yang difahaminya daripada tulisan duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu, Abdul Hadi berpendapat tidak ada maknanya jika parti politik seperti Umno atau Pakatan Harapan (PH) mendapat kemenangan besar kerana mereka dianggapnya tiada integriti.

Menurut Zaid, di mata Abdul Hadi pihak yang memiliki integriti ialah seseorang yang belum dituduh atau berdepan kes jenayah di mahkamah.

Justeru kata Zaid pemimpin Umno yang didakwa di mahkamah kini dianggap ahli parlimen Marang itu sebagai tiada integriti.

"Integriti itu berbeza daripada keperluan majoriti. Ia dua konsep yang berlainan," kata Zaid dalam kenyataan yang dibuat melalui media sosial.

Lihat Komen
ADS