mk-logo
Berita
Imigresen diminta pertimbang tak hantar pulang lelaki Nigeria
Diterbitkan:  Apr 18, 2021 12:02 PM
Dikemaskini: 4:15 AM

Imigresen diminta mempertimbangkan supaya tidak menghantar pulang seorang lelaki Nigeria Simon Momoh.

Pihak berkuasa juga digesa melepaskan Momoh, 33 tahun yang kini ditahan Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman penjara sehari kerana memandu bawah pengaruh alkohol.

Gereja Cathedral of St John the Evangelist di Kuala Lumpur, yang mana Momoh menjadi ahlinya meminta imigresen supaya mengambil kira nasib isterinya, seorang rakyat Malaysia dan dua anak mereka.

Menurut kenyataan gereja itu, Momoh dikenali sebagai seorang "suami dan ayah yang penyayang."

"Kami bukan berhasrat mahu menghalang proses keadilan.

"...dalam kes Simon, kami percaya dia telah menjalani hukuman penjara dan membayar denda.

"Kami berharap mereka yang mengambil keputusan memikirkan nasib anak-anaknya yang masih kecil dan kesusahan yang perlu mereka lalui.

"Sebagai sebuah komuniti, kami bersama dengan Low Kar Hui, Divine dan Elisha serta berdoa agar perkara yang betul akan dilakukan untuk keluarga muda ini," kata paderi Leonard Lexson, merujuk kepada nama-nama isteri Momoh dan anak-anak mereka.

Momoh menjalani hukuman penjara satu hari pada 15 Mac. 

Hukuman itu dijatuhkan kepadanya setelah dia didapati bersalah bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020. 

Isterinya juga membayar RM12,000 denda yang dikenakan terhadap Momoh.

Bagaimanapun, imigresen menangkap semula Momoh sebaik sahaja dia dibebaskan pada hari itu.

'Kanak-kanak tak bersalah'

Menurut peruntukan Seksyen 35 Akta Imigresen, mana-mana orang yang dipercayai tertakluk kepada pengusiran dari Malaysia boleh ditangkap tanpa waran oleh mana-mana pegawai imigresen atau/ oleh pegawai kanan polis dan boleh ditahan di mana-mana penjara, balai polis atau depot imigresen untuk jangka masa tidak melebihi tiga puluh hari.

Ini sementara menunggu keputusan sama ada perintah pengusirannnya perlu dibuat atau tidak.

Difahamkan, jabatan itu merancang untuk mengusir Momoh. Mereka telah membatalkan visa jangka panjang sebagai pasangan dan juga menolak rayuan Low agar suaminya dibebaskan.

Gereja itu menyatakan harapannya supaya para pemimpin dan wakil rakyat negara dapat membantu memperbaiki keadaan.

"Oleh itu, kami meminta kerajaan Malaysia, pihak berkuasa kehakiman dan pengarah imigresen, untuk tidak mengizinkan penahanan atau pengusiran Simon Momoh secara tidak sah.

"Kami memohon agar dia diizinkan untuk kembali ke pangkuan keluarganya secepat mungkin," kata kenyataan itu.

[Baca berita asal]

ADS