Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bomba selamatkan wanita dikhuatiri cuba bunuh diri
Diterbitkan:  Apr 18, 2021 9:26 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berjaya menyelamatkan seorang wanita yang dikhuatiri cuba membunuh diri dalam kejadian sebuah rumah di Kota Bharu, hari ini.

Ketua Balai Bomba Pasir Tumboh, El Taraff Mohd Zachariah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada suami mangsa dan tiba di lokasi kejadian pada jam 12.38 tengah hari.

"Sampai di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang wanita di dalam bilik berkunci disyaki cuba membunuh diri.

"Komander operasi cuba berkomunikasi dengan mangsa namun tiada respon sekali gus memaksa anggota penyelamat memecahkan pintu bilik.

"Sebaik pintu dipecahkan didapati wanita berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

El Taraff berkata, wanita berusia 38 tahun itu kemudiannya sedar dan pihaknya berusaha membawanya ke hospital, walaupun pada mulanya dia enggan berbuat demikian.

"Hasil pujukan suaminya, mangsa akhirnya akur untuk dibawa ke hospital menggunakan kenderaan persendirian," katanya lagi, sambil menambah laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu.

Sekiranya anda merasa tertekan, mempunyai kecenderungan bunuh diri, atau mengenali seseorang yang sedemikian, anda boleh menghubungi Befrienders untuk mendapatkan bantuan dengan mengikuti langkah di laman web https://www.befrienders.org.my/

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah membuat talian sokongan psikososial untuk pekerja barisan hadapan dan orang lain yang secara emosional terjejas oleh wabak Covid-19.

Talian itu boleh dihubungi di 011-63996482, 011-63994236 atau 03-9359935, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Lihat Komen
ADS