Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Doktor cadang KKM tambah baik sistem pelaksanaan program imunisasi

Seorang doktor kesihatan awam hari ini mencadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar menambah baik sistem pelaksanaan program imunisasi kebangsaan Covid-19 yang memasuki fasa kedua dan fasa seterusnya yang akan melibatkan klinik swasta.

Ini susulan dakwaan oleh pengasas, Klinik SP Care Dr Sathia Prakash Nadarajan yang berkata bahawa sistem pelaksanaan yang kini dicadangkan oleh KKM mempunyai sedikit kelemahan.

"Usaha melibatkan klinik swasta harus dipuji.

"Tapi, pada masa yang sama, saya percaya adalah tanggungjawab saya sebagai doktor untuk mengutarakan kelemahan yang dilihat olehnya, agar KKM dapat memperbetulkan sebelum fasa kedua dimulakan iaitu memberi vaksin kepada orang ramai," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, minggu lepas KKM mengadakan mesyuarat dengan pemilik klinik-klinik swasta seluruh negara menjelaskan sistem pelaksanaan program imunisasi Covid-19.

Difahamkan buat masa ini 1,000 hingga 2,000 klinik swasta dari seluruh negara sudah berdaftar di bawah program ini.

Bagaimanapun, Dr Prakash berkata bahawa antara isu yang membimbangkan adalah mengenai keupayaan pusat pengumpulan dos vaksin.

"KKM berkata bahawa klinik swasta hanya boleh memperolehi dos vaksin di suatu tempat setiap daerah yang ditentukan pada setiap Selasa.

"Saya percaya sistem perlu dikaji semula jika kita bayangkan kesesakan yang akan berlaku khususnya di daerah-daerah yang pesat atau mempunyai bilangan klinik yang tinggi.

"KKM terpaksa menangani kesesakan apabila kesemua klinik menghantar staffnya untuk mengumpul vaksin sebelum pukul 12 tengah hari," katanya.

Buat masa ini, KKM menetapkan program imunisasi dijalankan pada hari Selasa, Rabu dan Khamis setiap minggu dengan kehadiran 30 orang setiap hari.

Masa yang diluangkan adalah bermula pukul 12 tengah hari hingga 6 petang.

Individu yang tidak dapat hadir, boleh mengunjungi klinik tersebut pada Jumaat untuk divaksin.

Sementara itu, Dr Prakash turut memberitahu bahawa bayaran kepada klinik sebanyak RM14 untuk setiap individu perlu dikaji semula.

"Ini kerana, bayaran yang ditetapkan oleh KKM agak rendah jika mengambil kira pihak klinik perlu menyediakan beg penyejuk, peti sejuk dan peralatan perlindungan diri (PPE).

"Ini tidak termasuk, sebarang perubatan tambahan ketika penerima vaksin menghadapi masalah alergi semasa membuat vaksin harus ditanggung oleh pihak klinik.

"Secara teorinya, klinik akan mengalami kesesakan jika menerima pesakit lain semasa program imunisasi dijalankan kerana masa yang perlu diluangkan kepada setiap penerima vaksin adalah antara 15 minit hingga 30 minit selepas disuntik vaksin.

"Jadi, klinik-klinik yang terlibat dengan program imunisasi akan kehilangan pendapatan harian dan RM14 untuk setiap suntikan vaksin harus dinaikkan," katanya.

Menurutnya, pihak klinik juga mungkin berbelanja lebihan untuk mengambil staff tambahan bagi tujuan program imunisasi ini bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Fasa kedua program imunisasi akan mengutamakan warga emas, orang kurang upaya, golongan berpenyakit kronik dan juga barisan hadapan yang masih belum divaksin dalam fasa pertama.

Fasa ini yang sepatutnya bermula pada 19 April (semalam) kini ditangguhkan kepada Mei.

Dalam pada itu, Dr Prakash juga berpendapat bahawa adalah baik jika penerima vaksin dijadualkan ke klinik biasanya dikunjungi.

"Ini dapat dilaksanakan kerana pihak klinik lebih mudah akan mengetahui sejarah pesakit, yang akan mengurangkan masa yang digunakan untuk memeriksa sejarah perubatan mereka sebelum divaksin.

"Dengan adanya doktor yang lebih mengenali penerima vaksin tidak akan rasa panik atau takut ketika menerima vaksin," katanya.

Tambahnya, kesemua cadangan di ketengahkan itu, bukan kebimbangan sendiri tetapi luahan majoriti doktor yang akan terlibat dengan program imunisasi.

"Harap, KKM mengambil maklum pandangan kami dan buat yang terbaik kepada rakyat dalam menjayakan program ini," katanya.

Lihat Komen
ADS