Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Instafamous, suami dipenjara, denda kerana beri maklumat palsu
Diterbitkan:  Apr 20, 2021 3:36 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Seorang instafamous dan suami yang tular di media sosial kerana merentas negeri untuk berbulan madu, masing-masing dipenjara sehari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sKuala Lumpur, hari ini kerana memberi maklumat bertulis palsu kepada polis, bulan lepas.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu selepas Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25, dan suaminya Azharique Shah Abdul Jalil, 23, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Balai Polis Wangsa Maju, di Kuala Lumpur pada 2 petang, 15 Mac lepas.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini dan mereka akan dipenjara sebulan lagi jika gagal membayar denda tersebut. Pasangan itu membayar denda tersebut.

Pasangan usahawan produk berasaskan inai itu didakwa bersama-sama telah memberi maklumat palsu secara bertulis kepada Ketua Balai Polis Wangsa Maju iaitu ASP Fairul Nizam Anuar semasa membuat permohonan untuk permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mendapatkan kebenaran merentas negeri Johor, yang mereka mengetahui bahawa maklumat itu tidak benar.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 22(D) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 dan dibaca bersama-sama Sekyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama yang membawa hukuman penjara sehinga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, pasangan itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berbentuk denda minimum atas alasan mereka adalah penanggung utama keluarga.

“Sebelum ini, kami cuba untuk menukar penginapan ke tarikh lain tetapi pihak hotel tidak dapat mengembalikan deposit. Disebabkan perkara itu, kami meneruskan perjalanan ke sana.

“Kami memohon tidak dikenakan hukuman berbentuk pemenjaraan. Kami menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama,” kata Iram Naz.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar pula memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pemenjaraan, mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi faktor kepentingan peribadi kedua-dua tertuduh.

“‘Instastory’ yang dibuat oleh tertuduh pertama (Iram Naz) mengandungi perkataan yang tidak patut ditulis kerana PKPB turut memberi kesan terhadap ramai orang yang tidak boleh merentas negeri.

"Walaupun kelonggaran diberi namun ia bukan untuk tujuan lain, maka saya mohon semua pihak mengambil serius perkara ini agar tidak mengulangi kesalahan sama. Selain itu, statistik terkini kes Covid-19 juga semakin tinggi,” katanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Wong berkata tindakan kedua-dua tertuduh memberi contoh yang buruk kepada masyarakat kerana menyalah guna kelonggaran yang diberikan (untuk merentas negeri).

“Alasan bahawa tempahan tidak dapat dibatal atau wang tidak dapat dikembalikan, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kamu meneruskan perjalanan.

“Jika urusan pekerjaan, perlu dinyatakan secara jelas kepada pihak polis. Walaupun kamu ada alamat di sana, tetapi dalam ‘instastory’ menunjukkan kamu berada di tempat lain,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS