mk-logo
Berita
Khairuddin: Waktu agak sempit, jumpa duta Belgium awal Mei
Diterbitkan:  Apr 20, 2021 4:35 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dijangka bertemu dengan Duta Belgium untuk berbincang tentang isu komoditi Malaysia pada awal Mei ini.

Menterinya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata perjumpaan tersebut tidak semestinya bertujuan membincangkan isu minyak sawit tetapi ia juga boleh menjadi platform untuk kementerian berkenaan membincangkan hal berkaitan komoditi negara yang lain termasuk koko.

“Duta Belgium telah memohon untuk bertemu dengan saya tetapi oleh kerana waktu yang agak sempit maka pertemuan dengan beliau akan dilakukan sekali dengan kunjungan hormat saya ke pejabat Yang Di-Pertua Negeri Melaka pada awal bulan Mei nanti,” katanya kepada media selepas majlis prapelancaran Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi MPOB, di Bangi, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, apa yang penting adalah bagi kedua-dua pihak membincangkan isu berkaitan komoditi negara (Malaysia) dan kerjasama yang boleh dilakukan.

Pada 13 April lepas, media antarabangsa melaporkan Belgium akan melarang penggunaan minyak sawit dan soya bermula 2022 sebagai langkah mengurangkan masalah penebangan hutan selain bahan api bio minyak sawit tidak lagi dibenarkan sama ada di pasaran ataupun dalam sektor pengangkutan negara tersebut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS