Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zico bantah permohonan Zaid Ibrahim untuk dapatkan dokumen
Diterbitkan:  Apr 20, 2021 6:50 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Firma guaman Zaid Ibrahim & Co (Zico) membantah permohonan penzahiran dokumen oleh Datuk Mohd Zaid Ibrahim atas alasan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak berhak terhadap dokumen berkenaan.

Mohd Zaid memfailkan permohonan penzahiran dokumen daripada Pengerusi Eksekutif firma itu, Datuk Seri Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, bekas rakan pengurusannya Chew Seng Kok dan juga firma itu yang berkaitan dengan samannya (Mohd Zaid) terhadap Zico.

Peguam ZICO Tan Sri Tommy Thomas berhujah bahawa dokumen tersebut sudah ada dalam pemilikan Mohd Zaid dan beliau tidak boleh meminta firma guaman itu mengemukakan kepadanya.

"Pendirian kami adalah, kami mengatakan bahawa dokumen-dokumen yang dimohon oleh plaintif (Mohd Zaid), adalah dalam pemilikannya dan beliau tidak boleh kembali dan meminta kami mengemukakannya," kata beliau semasa prosiding permohonan penzahiran oleh Mohd Zaid itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir.

Thomas, yang juga mewakili Nik Norzrul Thani dan Chew sebagai defendan berkata Mohd Zaid memohon penzahiran itu sebelum bermulanya proses prosiding pertama dan mahkamah perlu memutuskan sama ada penzahiran itu diperlukan pada peringkat ini.

"Beliau (Mohd Zaid) sudah mengemukakan saman itu dan beliau meminda pernyataan tuntutan. Tidak ada alasan mengapa beliau memfailkan permohonan penzahiran itu secara berasingan," katanya.

Thomas memberitahu mahkamah bahawa dakwaan Mohd Zaid bahawa beliau masih memiliki ekuiti 5 peratus di Zico dianggap tidak sah kerana setelah Mohd Zaid dilantik sebagai menteri pada 2008, undang-undang mengenai ekuiti tidak membenarkannya terus memegang saham di firma lamanya.

"Semasa beliau meninggalkan firma itu pada 2008, beliau dibayar dengan bayaran lumayan. Beliau tidak menjadi ahli Majlis Peguam antara 2008 dan 2017,” katanya.

Sementara itu, peguam Mohd Zaid, Datuk Malik Imtiaz Sarwar berkata permohonan penzahiran itu bukan usaha untuk mendapatkkan fakta atau mencari maklumat secara semberono seperti yang didakwa Zico dan penyebab tindakan dalam permohonan penzahiran hari ini berbeza dengan tindakan sivil pertama.

Malik Imtiaz berkata dokumen tertentu tidak diberikan kepada Mohd Zaid dan pelanggannya berhak mendapatkannya melalui permohonan ini.

Hakim kemudiannya meminta kedua-dua pihak mengemukakan hujah tambahan pada 27 April untuk menjelaskan isu berhubung ekuiti 5 peratus itu serta kenapa permohonan penzahiran di mahkamah ini dan bukannya mahkamah Hakim Datuk Ahmad Bache, di mana tuntutan saman Mohd Zaid dijadualkan didengar.

Akhtar menetapkan 10 Mei untuk menyampaikan keputusannya melalui dalam talian.

Mohd Zaid memfailkan permohonan penzahiran dokumen itu pada Disember tahun lepas, memohon bekas rakan kongsinya dan Zico Holdings Inc yang berpangkalan di Singapura supaya menzahirkan dokumen yang berkaitan dengan samannya.

Pada 24 Nov tahun lepas, Mohd Zaid memfailkan saman terhadap Zico untuk menghalang firma itu daripada terus menggunakan namanya dalam amalan guaman dan mengembalikan nama firma tersebut kepadanya.

Perbicaraan permohonan firma itu untuk membatalkan saman tersebut di hadapan hakim Ahmad telah ditetapkan pada 10 Mei, hari yang sama dengan keputusan permohonan penzahiran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS