Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan pinda akta benarkan dana petroleum untuk beli vaksin
Diterbitkan:  Apr 21, 2021 6:35 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Kerajaan telah meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (Kwan) untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Ini dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 hari ini.

Menurut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

Menurut seksyen 5 (c) akta itu, sumbangan boleh dibuat oleh mana-mana negeri di Malaysia yang mendapat royalti daripada petroleum dan sumber alam lain yang akan habis.

Sumbangan ke dalam Kwan juga boleh datang dari mana-mana orang atau pihak berkuasa yang perniagaannya merangkumi penyelidikan atau pengembangan sumber alam yang akan habis.

Ordinan darurat yang diwarta hari ini menambah subseksyen baru ke dalam Seksyen 6 akta itu, yang mana subseksyen (a) dan (b) menyatakan dana tersebut boleh digunakan sama ada untuk Dana Pembangunan atau pemberian pinjaman atau pendahuluan dengan syarat konsesi kepada kerajaan persekutuan atau pemerintah dari mana-mana negeri.

Seksyen baru (c) ini menyatakan dana Kwan boleh digunakan untuk "pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan brhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988."

Pada 31 Mac lalu Putrajaya mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu (Pindaan) 2021 yang memberi kuasa Perdana Menteri (PM), Ketua Menteri (KM) atau Menteri Besar (MB) meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Ini bermakna ketua kerajaan dan ketua kerajaan negeri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan masing-masing tanpa kelulusan wakil rakyat.

Parlimen dan DUN digantung dari 11 Jan sehingga 1 Ogos susulan proklamasi darurat.

Sebelum darurat, sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri yang berhubungan dengan perbelanjaan dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan bagi negeri.

Perbelanjaan tambahan pula memerlukan suatu Akta atau Enakmen atau ketetapan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan negeri (DUN) bagi negeri dan pengeluaran daripada mana-mana Kumpulan Wang itu.

Lihat Komen
ADS