Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Petronas kutip AS$ 3 bilion dari penawaran bon
Diterbitkan:  Apr 23, 2021 11:56 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Petronas hari ini memaklumkan ia telah berjaya mengumpulkan AS$3 bilion dari penawaran bon untuk membiayai semula hutang dan untuk tujuan korporat yang lain.

Penerbitan tersebut adalah 2.46 kali dari saiz tawaran awal, dan tranche bon 40 tahun itu adalah yang terbesar yang pernah dikeluarkan oleh penerbit Asia Tenggara, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

"Disokong oleh permintaan pelabur yang kukuh, Petronas berjaya meningkatkan saiz transaksi menjadi ASS$ 3 bilion berdasarkan jumlah permintaan sebanyak AS$7.4 bilion," katanya.

Tawaran itu merangkumi AS$1.25 bilion untuk 10.75 tahun dan AS$ 1.75 bilion nota konvensional 40 tahun.

- Reuters

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Petronas berjaya menetapkan harga bagi tawaran bon senior dwi-tranche bernilai US$3.0 billion (US$1=RM4.11) yang merangkumi nota konvensional masing-masing 10.75 tahun bernilai US$1.25 bilion dan 40 tahun bernilai US$1.75 bilion.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Petronas berkata nota senior 10.75 tahun itu ditetapkan pada harga 92.5 mata asas (bps) melebihi Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) 10 tahun yang menghasilkan 2.480 peratus manakala nota senior 40 tahun pada harga 115 bps melebihi Perbendaharaan AS 30 tahun yang menghasilkan 3.404 peratus.

"Perkara utama transaksi itu termasuk kadar kupon terendah dan liputan terbitan paling ketat pernah dicapai oleh Petronas dan mana-mana syarikat korporat Malaysia melibatkan bon tranche 10 tahun dan 40 tahun.

"Petronas juga mencapai harga muktamad pada 42.5 bps dan 40 bps yang lebih rendah daripada panduan harga awal masing-masing untuk bon tranche 10.75 tahun dan 40 tahun tersebut.

“Hasil yang diraih bagi kedua-dua tranche itu juga lebih rendah daripada keluk sekunder dan kos pinjaman sedia ada Petronas,” katanya.

Malah, menurut Petronas, bon tranche 40 tahun itu adalah yang terbesar pernah dikeluarkan oleh penerbit ASEAN dengan harganya ditetapkan hanya 22.5 bps melebihi hasil bon 10.75 tahun -- liputan yang jauh lebih ketat berbanding pernah diraih oleh kebanyakan penerbit antarabangsa serta di ASEAN.

"Susulan sokongan permintaan pelabur yang kukuh, Petronas dapat meningkatkan saiz transaksi kepada US$3 bilion berdasarkan jumlah permintaan sebanyak US$7.4 bilion iaitu lebih 2.46 kali daripada saiz terbitan yang ditingkatkan," katanya.

Bon-bon itu diedarkan kepada pelabur antarabangsa peringkat atas di serata dunia iaitu bon 10.75 tahun kepada pelabur di Asia (48 peratus), AS (43 peratus), Eropah dan Timur Tengah (9.0 peratus) manakala bon 40 tahun kepada pelabur di AS (46 peratus), Asia (40 peratus) dan Eropah serta Timur Tengah (14 peratus).

Menurut syarikat minyak dan gas negara itu, langkah tersebut adalah susulan tawaran bon US$600 juta terbitan Petronas Energy Canada Ltd dan dijamin oleh Petronas pada Mac 2021 serta tawaran tranche pelbagai bernilai US$6 bilion pada April 2020.

"Hasilnya akan digunakan bagi pembiayaan semula hutang dan tujuan am korporat, sekali gus dapat mengoptimumkan lembaran imbangan dan melanjutkan profil matang hutang Petronas,” katanya.

BofA Securities dan Citigroup bertindak sebagai Penyelaras Global Bersama dan Pengendali Bersama berserta HSBC, Maybank dan MUFG selaku Penyelaras Bersama.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS