mk-logo
Berita
'Mana duit dari penyelesaian, pemulangan dana 1MDB?'
Diterbitkan:  Apr 26, 2021 10:11 PM
Dikemaskini: 2:11 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan ke mana wang dan aset yang diterima kerajaan Malaysia dari penyelesaian dan pemulangan dana berkaitan 1MDB sejak 2018.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang hari ini menyalahkan, antara lain, hutang 1MDB sebagai alasan mengapa kerajaan tidak dapat menanggung lebih banyak hutang.

Tengku Zafrul mengatakan bahawa inilah sebabnya mengapa Putrajaya terpaksa menggunakan RM5 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Negara (Kwan) untuk menampung program vaksinasi Covid-19.

“(Tengku Zafrul) dah mula cakap macam (bekas menteri kewangan) Lim Guan Eng ni walaupun ini bulan Ramadan.

"Ratib hutang 1MDB tapi tak jelaskan berapa dana yang sudah dibayar balik dan aset-aset yang masih dalam 1MDB," kata Najib dalam catatan Facebook hari ini.

Dia kemudian menyorot bahawa hutang 1MDB ketika BN meninggalkan kerajaan pada tahun 2018 berjumlah RM32.2 bilion sementara pada tahun 2021, hutang 1MDB adalah RM32.3 bilion.

"Satu sen prinsipal hutang pun tak pernah dibayar PH (Pakatan Harapan) dan PN (Perikatan Nasional) sejak pilihan raya umum (PRU) ke-14," tambah Najib.

Sementara itu, Najib menyenaraikan sejumlah wang yang dilaporkan dikembalikan kepada kerajaan dalam penyelesaian dengan pihak yang berkaitan kes 1MDB, termasuk anak tirinya, Riza Aziz, firma pelaburan Goldman Sachs, Ambank dan Deloitte.

Terdapat juga penjualan aset berkaitan 1MDB, termasuk kapal layar Equanimity yang dijual dengan harga RM523 juta, kata Najib.

Jelas Najib, berdasarkan laporan media mengenai berbagai penjualan dan penyelesaian, jumlah wang yang diambil oleh kerajaan setakat ini adalah RM33.4 bilion.

Katanya, selain itu, masih terdapat lebih banyak aset di bawah 1MDB seperti Tun Razak Exchange, yang dianggarkan bernilai RM40 bilion, dan 40 peratus kepentingan di Bandar Malaysia dikatakan bernilai RM140 bilion.

Terdapat juga penjualan bangunan Exchange 106, walaupun nilai sebenarnya belum diumumkan, katanya lagi.

Begitu juga, kata Najib lagi, masih ada penyelesaian yang masih dalam rundingan seperti dengan KPMG dan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (IPIC).

"Aset-aset ini belum kira lagi ke?

"Hutang 1MDB membebankan tapi wang RM33.4 bilion dan baki aset 1MDB yang masih bernilai ratusan bilion ringgit tak ringankan beban ke?

"[...] Wang RM600 bilion yang PM8 kata dia belanja itu, PN dapat dari mana? PN menabung dari kecil ke?" sindir Najib.

Awal hari ini, Tengku Zafrul mengatakan kerajaan tidak dapat menanggung lebih banyak hutang, kerana sudah mempunyai hutang dan liabiliti sebanyak RM1 trilion.

"Ini termasuk pinjaman tanpa sumber pembayaran seperti 1MDB dan inisiatif kewangan swasta (PFI) untuk perbelanjaan di luar imbangan duga.

"Sebagai contoh, obligasi hutang kerajaan untuk 1MDB sebanyak RM40 bilion cukup untuk membayar lapan program vaksinasi," kata Zafrul.

Lihat Komen
ADS